LIGA SUPER MSIA
Sukan SEA: Skuad B-22 bakal berguru di Australia
Ketua jurulatih skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee, mengesahkan seramai 25 pemain bakal dipanggil ke kem latihan pusat yang berkemungkinan besar bakal di diadakan di Australia, bermula 29 Mei depan.
Tarikh itu -- ketika bulan Ramadan -- adalah waktu paling tepat untuk mengadakan kem latihan pusat, di mana saingan Liga Malaysia (Liga M) sedang direhatkan.
Seramai 25 pemain akan dipilih terlebih dahulu untuk dibawa ke venue latihan yang mungkin diadakan di Australia di mana mereka bakal berdepan tiga aksi persahabatan di sana.
Iklan
Bagaimanapun, Kim Swee kini hanya mengharapkan posisi jurulatih kecergasan dapat ditentukan dalam masa terdekat sebelum mereka ke luar negara.
"Saya akan menantikan kehadiran jurulatih kecergasan.
"Buat masa ini, tiada lagi penolong jurulatih, saya hanya mempunyai Brad Maloney termasuk jurulatih penjaga gol, Yong Wai Hwang.
"Selain itu, saya tidak nampak lagi apa yang akan ditambah dalam barisan kejurulatihan," ujar pengendali kelahiran Melaka itu.
Timbalan Presiden, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Yusoff Mahadi, yang bertindak selaku pengurus skuad B-22 turut mengesahkan pasukan negara akan kembali menjalani latihan pusat di tanah air bermula 5 Julai, bagi persiapan Pusingan Kelayakan AFC B-23 di Bangkok pada 15 Julai.
"Saya fikir faktor masa bersama antara pemain sudah mencukupi.
"Cuma apa yang perlu dipertimbangkan adalah mengenai kesanggupan pasukan (asal) pemain-pemain dalam melepaskan tonggak mereka," ujarnya.
Pasukan B-22 akan menggalas tanggungjawab memburu ibu segala pingat Sukan SEA Kuala Lumpur dari 19 hingga 30 Ogos depan.
Must-Watch Video