Skip to main content

Bola Sepak

Strategi baharu hadapi Kelantan tanpa kelibat Ronny  -- David

david-usop-ronny-harun-250517.jpg
Strategi baharu diperlukan untuk mengukuhkan kubu pertahanan Sarawak apabila berhadapan dengan Kelantan dalam saingan Liga Super di Kota Bharu pada 1 Julai depan, kata pengendalinya, David Usop.

Ia susulan penggantungan kapten serta tonggak pertahanannya, Ronny Harun setelah mengutip tiga kad kuning, termasuk ketika aksi menentang Perak sebelum ini.

"Saya perlu menguji beberapa pemain bagi mengisi posisi penting Ronny," katanya yang baru memulakan latihan minggu ini selepas sambutan Gawai dan Pesta Kaamatan.

Katanya, pada minggu pertama latihan, pemain masih menyesuaikan diri dengan corak latihan malam pada bulan Ramadan.

"Kami menjangkakan latihan akan lebih berat dan sepenuhnya pada minggu depan," tambahnya lagi.

Katanya, masih terlalu awal untuk memaklumkan congakan baharu pasukannya serta bentuk strategi yang bersesuaian ketika menentang The Red Warriors.

"Setelah berehat agak panjang dan dalam usaha membina momentum, kami merancang untuk mengadakan dua atau tiga perlawanan persahabatan bagi menguji kemantapan barisan baharu. 

"Perlawanan ujian ini bagaimanapun masih dalam proses perbincangan"

Sementara itu, mengenai prestasi dua import baharu -- Milos Raicovic dari Montenegro dan Sahil Suhaimi dari Singapura --  David berkata, ia juga masih terlalu awal untuk menilai kemampuan mereka.

"Kemampuan sebenar dua pemain baharu ini belum terserlah kerana ketika aksi menentang Perak, mereka hanya sempat berlatih dalam kem Sarawak selama dua hari.

"Sudah ada nampak bentuk permainan yang kami hajati tetapi belum wujud keserasian dalam kalangan mereka."

Sehubungan itu dalam tempoh sebulan berbaki ini, beliau akan berusaha membaiki gandingan ini, terutama persefahaman di antara bahagian jentera tengah dan serangan.

Berkaitan kedudukan Sarawak yang kini meningkat satu anak tangga susulan kejayaan mencuri satu mata dalam aksi menentang Perak, David berpuas hati dengan persembahan tersebut.

"Kita tahu akan kedudukan Perak yang agak bagus dan kami berjaya mendapatkan satu mata di tempat lawan.

"Oleh itu, untuk memperbaiki kedudukan dalam pusingan kedua ini, kami tidak ada pilihan ... melainkan perlu menang di tempat sendiri.

"Tiada istilah seri ataupun kalah lagi."
 

Advertisement

Must Watch Video