LALIGA
Simeone: Atletico lalui jalan berliku tahun lalu
Diego Simeone menegaskan dia tidak berasa kesal dengan prestasi Atletico Madrid pada tahun lalu selepas menyaksikan pasukannya tampil lebih kuat pada separuh kedua musim ini.
Empat daripada lima kekalahan Atleti dalam liga utama Sepanyol berlaku sebelum tahun ini, dengan hanya pendahulu, Barcelona, boleh mengatasi mereka pada 2017 setakat ini.
Semi-finalis Liga Juara-Juara itu kini menumpukan perhatian untuk berdepan Sevilla dalam pertempuran merebut tempat ketiga -- kedudukan yang mereka berada pada dua musim lalu sejak menjuarai LaLiga 2013-14.
Iklan
Skuad Simeone memperagakan prestasi persis juara bermula Januari lalu tetapi jurulatih berbangsa Argentina itu tidak memikirkan apa yang mungkin berlaku dalam perlawanan menentang skuad tempat kelima, Villarreal, awal pagi nanti.
"Setiap tahun, ada kesukaran yang anda perlu lalui," katanya. "Tiada tahun yang mudah, sama ada ketika kami memenangi LaLiga atau menamatkan saingan di tempat ketiga. Dalam liga ini, setiap pasukan akan melalui laluan berliku.
"Kami melaluinya pada awal musim ini tetapi pada tahun 2017 kami ebih konsisten dan berharap agar terus berada di landasan itu.
"Ia sama seperti setiap tahun, kami selalu bersaing baik dalam aspek bola sepak mahupun fizikal dan saya berharap ia terbukti dalam aksi menentang Villarreal.
"Kami mempunyai perlawanan sukar menentang lawan sukar yang bermain baik dengan sistem 4-4-2. Mereka bertahan sebagai satu unit dengan mengambil manfaat daripada kesilapan, dengan pemain yang sangat baik dan dengan penyerang cemerlang. "
Apabila diminta menjelaskan mengenai peningkatan Atleti ketika saingan musim ini menuju ke penghujung, dia seperti kebiasaan menyanjung hasil kerja keras pemainnya.
"Keputusan yang konsisten sentiasa adalah hasil kerja kolektif pasukan dan, pada masa yang sama, sumbangan individu juga penting," tambahnya.
"Saya fikir persembahan individu bertambah baik dan mendorong peningkatan pasukan.
"Itu sentiasa berlaku -- apabila pasukan telah kuat, kami mempunyai detik-detik hebat daripada ramai pemain yang berbeza.
"Itulah apa yang berlaku sejak awal tahun ini dan kami berharap dapat mengekalkan rentak ini sehingga tamat."
Simeone enggan mengulas mengenai larangan pendaftaran pemain pada jendela akan datang, di sebalik laporan Atletico yang menunggu keputusan rayuan daripada Mahkamah Timbang Tara Sukan FIFA sama ada berjaya atau sebaliknya.
Dia menambah: "Kami tidak mempunyai apa-apa maklumat mengenai apa yang mungkin berlaku."
Must-Watch Video