Skip to main content

Bola Sepak

Sertai PSG langkah penting bagi saya -- Icardi

mauroicardi.jpg
Mauro Icardi berkata menyertai juara Ligue 1, Paris Saint-Germain (PSG), merupakan langkah penting dalam kariernya.

Icardi mengambil keputusan berhijrah daripada kelab Serie A, Inter, untuk menyertai PSG secara pinjaman sepanjang musim ini sebelum tamat jendela perpindahan semalam.

Tidak lagi bertindak sebagai kapten Inter musim lalu dan diketepikan oleh pengendali baru, Antonio Conte, musim ini, Icardi menandatangani kontrak lanjutan setahun lagi bersama Nerazzurri sebelum berpindah ke PSG.

Berbincang mengenai penghijrahan ke PSG -- yang dilaporkan memiliki pilihan untuk membeli penyerang itu dengan yuran perpindahan EURO70 juta (RM323 juta) -- Icardi memberitahu PSG TV: "Saya sangat gembira.

"Ia merupakan satu langkah yang penting dalam karier saya dan merupakan peluang untuk menyertai kelab ternama seperti PSG. Saya berharap untuk mencipta impak bersama pasukan.

"Berupaya bermain dengan barisan pemain-pemain berbakat ini amat menakjubkan. Ia merupakan keputusan yang mudah, saya ke Paris kerana mahu bermain bersama Les Parisiens.

"Mereka dibarisi pemain seperti Edinson Cavani, Neymar dan Kylian Mbappe. Saya berbangga kerana menjadi rakan sepasukan mereka.

"Saya seorang penyerang, gemarkan gol. Ia adalah sesuatu yang menakjubkan turun beraksi dalam kalangan pemain yang berkualiti.

"Ia merupakan satu kenangan yang istimewa berdepan musuh tradisi. Saya telah berdepan Juve, Milan, dalam perlawanan yang penting. Saya tidak sabar untuk bermain di Perancis.

"Saya tidak pernah bermain di padang Parc des Princes, ia merupakan pengalaman pertama saya."

Icardi, yang menyertai Inter pada 2013 daripada Sampdoria, menjaringkan 111 gol dalam saingan Serie A dan merupakan penjaring kelapan terbanyak sepanjang zaman.

Advertisement

Must Watch Video