Skip to main content

Bola Sepak

Saya ralat, perlawanan itu milik kami! -- David Usop

david-usop.jpg
"Saya ralat, tidak tahu hendak kata apa. Seharusnya perlawanan itu milik kami!," itu luahan David Usop, mengulas pertemuan Liga Super dengan Selangor, dua hari lalu, yang berkesudahan Sarawak kecundang 2-1 di Stadium Selayang.
   
Menurutnya, segala-galanya telah dilakukan termasuk menguasai permainan, namun misi paling penting "menjaringkan gol" gagal dicapai.
  
"Separuh masa pertama, sekurang-kurangnya tiga gol sudah sedia digenggam, namun palang menjadi penghalang.
   
"Begitu juga separuh masa kedua," tambahnya lagi.
   
Kata David, selain gagal menterjemahkan gol, para pemainnya beraksi dengan baik.
  
"Tiada apa lagi yang perlu saya tuntut kerana mereka sememangnya bermain baik, menyerap tekanan dan mengasak ke kubu lawan.
   
"Cuma sentuhan akhir sentiasa menjadi episod malang dan menyedihkan sejak aksi pertama lagi," jelasnya.
   
David mengharapkan kegagalan tersebut tidak berterusan pada aksi di gelanggang sendiri menentang Perak hujung minggu ini.
   
"Kami perlukan gol. Perlukan mata.
   
"Dan kami perlu tamatkan badi kekalahan di Stadium Negeri," tambahnya lagi.
   
David berkata, kecuali Nur Syahmie Iszuan yang masih dalam penilaian, kesemua pemain lain cergas dan dapat diturunkan.
  
"Oleh itu, saya berharap dapat mempertajam lagi sentuhan gol bagi membolehkan pertemuan ini membuahkan mata berharga.
   
"Biarpun kita berada pada kedudukan kedua tercorot dalam kedudukan liga, namun ia bukan bermakna noktah akhir.
  
"Kita masih boleh mengejar kerana kedudukan mata yang rapat di antara pasukan.
  
Menang dan seri dalam dua perlawanan akan datang boleh mengubah nasib Sarawak, dan mengeluarkan mereka dari zon merah penyingkiran.
   
"Jadi perjuangan kita belum tamat.
   
"Kita akan terus mengejar," tambahnya lagi.

Advertisement

Must Watch Video