Skip to main content

Bola Sepak

Sathit: Kami gagal cabar Pahang

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

sathit11218.jpg
Kelantan turun dengan misi menamatkan kemarau kemenangan, namun persembahan longlai pemainnya menyebabkan mereka dibelasah 3-0 dalam Liga Super di Stadium Darulmakmur, malam tadi.

Mengakui ia malam yang serba tidak menjadi untuk Kelantan, jurulatih The Red Warriors (TRW), Sathit Bensoh, menyifatkan anak buahnya beraksi di bawah kemampuan sebenar dan gagal menghalang Pahang daripada mencatat kemenangan pertama.

“Tidak ada sebarang tekanan untuk saya (kekalahan malam ini), cuma kami bersetuju bahawa semua pemain gagal beraksi baik menentang lawan yang lebih dahagakan kemenangan.

“Tentang keputusan (kalah 0-3), saya menerimanya kerana kami bermula agak perlahan dan membenarkan lawan menguasai permainan,” katanya.

Sathit juga menyifatkan kesilapan demi kesilapan yang dilakukan pemain TRW, termasuk melepaskan gol awal, mengundang padah dan membuka peluang seluas-luasnya kepada Pahang untuk menguasai permainan.

“Melepaskan gol awal menyebabkan pemain dihimpit  tekanan. Akibatnya, mereka kehilangan motivasi di atas padang. Kesilapan demi kesilapan dilakukan. Agak sukar untuk bangkit semula.

“Kami juga menjadikan pemain Pahang lebih bernafsu untuk mencari kemenangan pertama mereka dan akhirnya kami setuju Kelantan gagal memberikan saingan yang kuat,” ujarnya.

Ditanya mengenai peluang pasukannya bangkit mencari kemenangan pertama menentang Perak, 24 Februari nanti, Sathit yakin sambil menjanjikan anak buahnya kembali mempamerkan aksi mantap dan bertenaga.

“Selepas ini, kami ada dua minggu membuat persediaan menghadapi sebuah lagi pasukan sukar, Perak, di gelanggang sendiri. Kami perlu bangkit dengan lebih kuat, kami perlu baiki semula pasukan ini, termasuk daripada aspek kekuatan, motivasi dan kepercayaan,” katanya lagi.
 

Advertisement

Must Watch Video