Skip to main content

Bola Sepak

Sathit hilang khidmat Piya, Apek

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

sathit-bensoh.jpg
Jurulatih Kelantan, Sathit Bensoh, mengesahkan dua tonggak utama skuadnya tidak dapat diturunkan dalam aksi penting bertemu Melaka United dalam Liga Super di Stadium Hang Jebat, malam ini.

Katanya, ketiadaan ketua pasukan, Mohd Badri Radzi atau Piya, dan penjaga gol utama, Khairul Fahmi Che Mat (Apek), akibat demam memang merencatkan strategi pasukan tetapi yakin pemain lain sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab yang diberikan.

“Kami kehilangan dua pemain berpengaruh di atas padang  akibat gagal pulih daripada demam. Memang mengganggu sedikit perancangan yang telah diatur tetapi masalah (kesihatan) sesuatu yang tak dapat dielakkan.

“Kami membawa 18 pemain terbaik untuk beraksi menentang Melaka United dan soal pemain mana yang akan menggantikan Apek dan Piya akan saya putuskan nanti. Tidak ada sebarang masalah kerana semua pemain sudah bersedia sepenuhnya,” katanya.

Sathit juga tidak mahu anak buahnya terlalu yakin untuk mengulangi sejarah musim lalu apabila mengalahkan Melaka 3-1 dalam aksi terakhir Liga Super, sebaliknya turun dengan memberikan  sepenuh perhatian terhadap strategi permainan yang telah ditetapkan.

“Perlawanan itu sudah menjadi sejarah (menang 3-1) dan kali ini kami perlu berhati-hati memandangkan skuad kendalian jurulatih Eduardo (Almeida) itu bukannya mudah untuk dikalahkan di gelanggang sendiri.

“Melaka juga sudah tentu mahukan kemenangan dalam aksi pertama dan saya jangkakan satu perlawanan yang sukar malam ini,” katanya lagi.

Sathit juga tidak menolak kemungkinan menyenaraikan kesemua pemain import untuk beraksi menentang Melaka United dengan harapan dapat mencuri sekurang-kurangnya satu mata.

“Kami akan turunkan semua pemain import bagi memberi tekanan kepada skuad tuan rumah dan menjayakan misi untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata,” katanya. 
 

Advertisement

Must Watch Video