Skip to main content

Bola Sepak

Sathianathan bangga persembahan Selangor

sathianathan.jpg
Jurulatih Selangor, B. Sathianathan, menyuarakan rasa bangga dengan kemampuan anak buahnya beraksi di bawah tekanan sehingga berjaya bangkit mengikat Pahang 1-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, semalam.

Kem Selangor tampak diselubungi tekanan memuncak selepas tewas 0-4 menentang PKNS FC selain sekadar seri 1-1 bertemu PJ City FC dan juga Felda United.

Dikaitkan dengan pelbagai spekulasi buruk di luar padang, skuad Red Giants itu tiada pilihan untuk aksi menentang Pahang selain bangkit meraih keputusan positif.

Pada ketika ia dilihat sukar, anak buah Sathianathan itu, bagaimanapun, berjaya melakukannya menerusi aksi yang lebih mantap walaupun sekadar membariskan tiga pemain import dalam pertemuan itu.

"Pahang adalah pasukan berkualiti dan Selangor bernasib baik kerana mereka gagal menampilkan aksi terbaik. Saya mengucapkan tahniah kepada pemain-pemain yang memberikan yang terbaik," kata Sathianathan.

"Saya tidak meminta tiga atau satu mata. Saya hanya mahu mereka bermain dengan persembahan terbaik."

Selangor ketinggalan menerusi gol Wan Zaharulnizam Zakaria sebelum bangkit menyamakan kedudukan menerusi jaringan Rufino Segovia.

Jurulatih Pahang, Dollah Salleh, bagaimanapun tidak menganggap ketiadaan Nor Azam Azih yang digantung perlawanan sebagai kegagalan mereka mempamerkan keupayaan sebenar berdepan Selangor.

"Wan Zaharulnizam telah bermain dengan baik kali ini. Saya sangat berbangga dengan persembahannya," kata Dollah.

Advertisement

Must Watch Video