Skip to main content

Bola Sepak

Sang Badak dikecewakan PDRM di Likas

dsc_9412.jpg
SABAH 1 PDRM 3

Hasrat Sang Badak untuk mencatat kemenangan kedua di gelanggang sendiri musim ini tidak kesampaian apabila kecundang kepada 1-3 kepada PDRM di Stadium Likas, malam ini.


Sabah berpeluang seawal minit ke-10 apabila Leopold Alphonso berjaya melepasi kawalan pertahanan lawan, namun rembatannya di dalam kotak penalti sekadar terkena tiang.

PDRM kemudian mendahului tuan rumah hasil tandukan cantik ketua pasukan, Muhammad Safuwan Baharuddin, pada minit ke-15 bagi menjadikan kedudukan 1-0.

Pada minit ke-24, Maxsius Musa hampir menyamakan kedudukan buat pasukan tuan rumah, namun percubaan pemain itu selepas menerima hantaran Rahman Shah Marajeh terkena palang gol PDRM. 

Pasukan pelawat kemudian menambah jaringan hasil sepakan penalti penyerang import, Dao Bakary, pada minit ke-32 selepas penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim, mengasari Safuwan di dalam kotak penalti.

Masaya Jitzono kemudian menghidupkan kembali peluang Sabah apabila meledak gol pertama hasil sepakan percuma kira-kira 30 meter dari luar kotak penalti dan kedudukan 2-1 itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Pada babak kedua, Shahurain Abu Samah berjaya menambah gol buat PDRM hasil tandukan cantik pada minit ke-67 selepas mendapat hantaran Mohd Fauzi Abd Majid bagi menjadikan kedudukan 3-1.

Minit ke-25, Jitzono sekali lagi memiliki peluang baik menerusi sepakan percuma dari luar kotak penalti, namun percubaannya terus ke dakapan penjaga gol lawan.

Igor Cerina yang bertukar posisi ke penyerang turut memiliki peluang pada minit ke-86, namun percubaannya berjaya diselamatkan pertahanan lawan walaupun penjaga gol telah pun tertewas.

Perlawanan malam ini turut menyaksikan penyerang tuan rumah, Rahman Shah Marajeh, dilayangkan kad merah selepas mengasari pertahanan lawan pada minit ke-89.

Kedudukan 3-1 itu kemudian kekal sehingga pengadil perlawanan, Wan Mohamad Tarmizi Wan Ibrahim, meniupkan wisel penamat.

Keputusan lain:

ATM 4 KUANTAN 3

PERLIS 1 NEGERI SEMBILAN 1

UiTM 1 PKNP 1

JOHOR DARUL TA'ZIM II 1 TERENGGANU 2


KUALA LUMPUR 2 MISC-MIFA 1

Advertisement

Must Watch Video