Skip to main content

Bola Sepak

Sabah pertimbang tukar pemain import

jelius-ating.jpg
Ketua jurulatih Sabah, Jelius Ating, melahirkan rasa kecewa dengan prestasi empat pemain importnya sambil tidak menolak kemungkinan untuk membuat pertukaran menjelang jendela perpindahan yang akan datang.

“Yang membezakan pasukan dalam Liga Malaysia adalah kualiti pemain import dan sebab itu jika tersalah memilih pemain, ia memberi masalah kepada pasukan.

“Melihat corak permainan Sabah juga sudah menunjukkan perlunya (pertukaran), jadi memang akan ada pertukaran pemain import nanti,” katanya.

Musim ini skuad Sang Badak diperkuatkan dua pemain dari Perancis, Jonathan Behe, 28, dan Sofiane Choubani, 27, selain Masaya Jitozono (Jepun), 28, serta pemain Croatia, Igor Cerina, 29.

Keempat-empat awang import itu gagal memainkan peranan selepas Sabah tunduk 0-2 kepada Terengganu dalam aksi Liga Perdana di gelanggang lawan, malam tadi.

Keputusan itu menyaksikan Sabah terus bergelut di tangga kedua tercorot dengan hanya empat mata daripada sembilan perlawanan.

“Sekiranya mahukan peningkatan dan perubahan dalam rentak permainan, kami memerlukan pemain import yang lebih baik.

“Pemain import haruslah mampu mengubah keputusan perlawanan. Malah, pemain berkualiti akan memberi contoh yang baik kepada pemain-pemain lain di dalam dan luar padang.

“Walaupun belum membuat keputusan siapa yang akan digugurkan, yang pasti akan ada pertukaran melibatkan pemain import,” ujar Jelius lagi.
 

Advertisement

Must Watch Video