Skip to main content

Bola Sepak

Roberto bengang Barca seri dengan Osasuna

sergi-roberto.jpg
OSASUNA 2 BARCELONA 2

Sergi Roberto bengang apabila kebangkitan yang diusahakan Barcelona hanya mampu mengikat Osasuna 2-2 dalam pertemuan LaLiga di El Sadar, malam tadi.


Skuad kendalian Ernesto Valverde itu ketinggalan seawal minit ketujuh gara-gara ketajaman Roberto Torres, namun mereka bangkit dalam babak kedua untuk menjadikan kedudukan 2-1 menerusi penyudah kemas Arthur sebelum Ansu Fati menjadi penjaring termuda mereka dalam LaLiga.

Bagaimanapun, Torres merampas kebahagiaan itu pada semibilan minit terakhir perlawanan apabila menyudahkan sepakan penalti selepas Gerard Pique menahan bola menggunakan lengan.

Ia bermakna Barca hanya meraih lima mata daripada tiga perlawanan pertama musim ini, permulaan terburuk mereka sejak musim pertama di bawah kendalian Pep Guardiola pada 2008 -- musim yang ditamatkan dengan kejuaraan 'treble'.

Roberto berasa kesal dengan keputusan itu selepas Barca berusaha keras untuk berada di depan tanpa trio serangan yang cedera, Lionel Messi, Luis Suarez dan Ousmane Dembele.

"Kami bengang, kami marah," katanya kepada Movistar.

"Amat sukar untuk kami menguasai babak pertama, untuk menghampiri gol mereka.

"Mereka banyak menutup ruang, mereka memiliki penyokong dan kami tidak dapat mengawal permainan.

"Kami sedar ada beberapa situasi yang mereka akan memberikan tekanan dan jika anda tidak berhati-hati, anda akan dihukum. Itulah yang terjadi kepada kami," katanya.

Pengadil, Juan Martinez, pada awalnya kelihatan tidak mahu memberikan sepakan penalti itu, namun mengubah keputusannya selepas mendapatkan pandangan daripada pembantunya.

Roberto tidak pasti sama ada ia satu keputusan yang tepat kerana lebih mengutamakan untuk membawa Barca kembali ke landasan sebenar selepas waktu rehat antarabangsa.

"Saya tidak dapat lihat dengan jelas insiden penalti itu. Saya tidak tahu sama ada dia (Pique) mempunyai masa untuk mengelak.

"Perkara yang baik ialah kami masih mempunyai perjalanan yang panjang, namun ini adalah amaran untuk kami agar tidak terlalu selesa dan berhati-hati dari minit pertama," tambahnya.

Barca akan berdepan Valencia, 14 September ini dengan Messi dijangka akan diturunkan dalam perlawanan itu.

Advertisement

Must Watch Video