Skip to main content

Bola Sepak

Ribuan penyokong tidak gentarkan Harimau Malaya -- Farizal

farizal-marlias.jpg
Kapten skuad negara, Farizal Marlias, menegaskan kehadiran ribuan penyokong Indonesia bukan masalah besar biarpun Harimau Malaya dibarisi pemain yang kurang berpengalaman dalam aksi berprofil tinggi.

Kecuali dia dan penyerang senior, Norshahrul Idlan Talaha, pemain negara yang lain akan berdepan pengalaman kali pertama beraksi dalam suasana luar biasa di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta menjelang aksi pembukan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia Qatar 2022, malam ini.

Antara pemain muda yang akan diturunkan ialah Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Daniel Amier Norhisham, sementara J. Partiban dan Hadin Azman pula merupakan muka baru dalam skuad kebangsaan.

Namun, Farizal percaya dia dan rakan-rakannya mampu mengharungi cabaran getir itu menerusi persediaan mental dan fizikal yang cukup rapi.

"Dalam Liga Malaysia juga mempunyai penyokong yang ramai bagi setiap kelab. Saya rasa ia bukan isu besar untuk menangani tekanan.

"Saya berharap pemain juga bersedia daripada segi mental dan fizikal dan dapat menyesuaikan diri dengan tekanan yang akan dihadapi," katanya.

Farizal dijangka menjadi taruhan utama ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe, sebagai benteng terakhir bagi misi mendapatkan mata penuh dalam aksi pembukaan Kumpulan G itu.

Penjaga gol Johor Darul Ta'zim (JDT) itu akan menggalas tugas penting untuk mengekang rangkaian penyerang skuad Garuda berkenaan, Beto Goncalves, Osas Saha dan Ferdinand Sinaga.

Selain itu, pengalaman Norshahrul atau Matyo juga ditagih Cheng Hoe selepas penyerang Pahang itu muncul satu-satunya pemain daripada skuad emas 2010.

"Dengan pengalaman Matyo, saya harap dia dapat memimpin pasukan, terutama di bahagian serangan.

"Bukan nak letak tekanan tetapi dia perlukan sokongan daripada rakan-rakan.

"Dalam masa sama, saya rasa kami boleh bermain sebagai satu pasukan yang baik," kata pengendali berkenaan.

Sementara itu, kapten Indonesia, Andritany Ardhiyasa, mengakui pasukannya perlu memanfaatkan aksi di laman sendiri sebagai permulaan positif dalam kempen kelayakan kali ini.

Enggan mengecewakan penyokong yang akan membanjiri stadium, penjaga gol itu menyeru rakan-rakannya untuk turun berhabis-habisan demi maruah Indonesia.

"Kami harus mendapatkan keputusan terbaik kerana ia melibatkan ranking dunia dan peluang kami untuk ke pusingan berikutnya.

"Saya berharap agar semua penyokong dapat memenuhi stadium untuk membantu kami kerana penyokong merupakan pemain ke-12 yang sangat-sangat membantu pemain," katanya.

Pemain Persija Jakarta itu, bagaimanapun, mengakui pasukannya perlu tampil berbeza untuk berdepan skuad negara yang disifatkannya sebagai lawan yang kuat. 

Andritany antara pemain Indonesia yang menggalas tugas berat untuk menangani trio serangan Harimau Malaya, Norshahrul, Mohamadou Sumareh dan Safawi Rasid.

Advertisement

Must Watch Video