SERIE A
Ribery masih muda di atas padang
Franck Ribery berkata dia mungkin sudah lanjut usia tetapi masih berasa muda di atas padang selepas memaparkan aksi luar biasa ketika membantu Fiorentina menewaskan AC Milan di San Siro awal pagi tadi.
Pemain veteran kelahiran Perancis itu menjaringkan gol ketiga pasukannya dan diberikan sambutan hangat oleh penyokong tuan rumah selepas dikeluarkan pada penghujung saingan.
Dalam perlawanan itu, Ribery sentiasa menjadi ancaman terbesar buat Milan, yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas bekas bintang Bayern Munich itu dikasari Mateo Musacchio.
Iklan
Walaupun sudah berusia 36 tahun, Ribery menegaskan rasa cintanya terhadap bola sepak telah membantunya untuk mengekalkan prestasi hebat seperti itu.
"Saya gembira, apabila saya beraksi di San Siro, ia sentiasa istimewa. Ia arena yang besar dengan penyokong yang ramai," katanya kepada Sky Sport Italia.
"Ia waktu yang agak sukar buat penyokong Milan, namun kami memaparkan aksi yang baik dan ia amat penting buat kami.
"Benar, saya sudah tua tetapi saya berasa muda di atas padang.
"Bola sepak adalah hidup saya, saya cintakannya.
"Saya masih bernafsu ketika hadir ke Fiorentina dan ia membuatkan saya teruja untuk melihat pasukan ini beraksi dengan amat baik.
"Saya datang ke sini untuk membantu Fiorentina, semua pemian dan penyokong.
"Saya gembira, namun perlu berusaha keras setiap hari, setiap minggu untuk beraksi seperti malam ini," katanya.
Gelecekan kemas Ribery menjadi punca kepada sepakan penalti yang disudahkan Erick Pulgar untuk membuka jaringan Fiorentina dan pemain veteran itu turut beraksi baik dengan Federico Chiesa, yang turut membantu jaringan Gaetano Castrovilli.
"Federico pemain yang bagus, saya sentiasa memberikan saranan dan dia mendengarnya.
"Ia amat penting buatnya dan pasukan ini," tambah Ribery lagi.
Sorakan yang kuat dapat didengar daripada ketua jurulatih Fiorentina, yang juga bekas pengendali Milan, Vincenzo Montella, selepas wisel penamat dibunyikan dan dia turut memuji persembahan Ribery yang tidak dimamah usia.
"Saya mengeluarkan Ribery kerana saya yakin dia akan mendapat penghormatan tertinggi daripada penonton.
"Dia sentiasa berada dalam permainan, sentiasa berpengaruh dan mempunyai kebolehan yang melampaui lumrah.
"Rentak permainannya tidak pernah berubah seperti lima atau enam tahun lalu," katanya.
Must-Watch Video