Skip to main content

Bola Sepak

Rashford mahu bersara di Manchester United

rashford.jpg
Bintang Manchester United, Marcus Rashford, berkata dia mahu bersara di Old Trafford kerana berasa "tidak kena" untuk menyarung jersi pasukan lain.

Rashford, yang menyertai United sejak berusia tujuh tahun, tiba daripada pasukan pelapis United pada 2015 dan sejak itu, dia mencipta nama sebagai salah seorang pemain bintang dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Produk akademi pembangunan berusia 23 tahun itu telah menjaringkan 77 gol daripada 232 penampilan buat United, termasuk tiga dalam EPL dan enam dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim ini.

Rashford berharap dia akan menamatkan kariernya selaku pemain yang mewakili hanya satu pasukan dengan berkata: "Bagi saya, saya tidak pernah melihat melangkaui Manchester United.

"Sewakt kecil, saya tidak pernah melihat sesuatu yang melangkaui Manchester United.

"Dalam fikiran saya, ia seperti tidak kena untuk saya menyarung jersi pasukan lain.

"Saya hanya mahu melakukan yang terbaik buat kelab ini selagi saya berada di sini, jadi harap-harap saya akan kekal lama di sini," katanya.
 
Rashford, yang bercakap selepas memenangi Anugerah Sukan untuk Perubahan Sosial dalam Anugerah Sukan British, menambah: "Semua perkara baik yang datang pada tahun ini tiba disebabkan Manchester United memberikan saya peluang sebagai seorang remaja. Saya tidak ingat sama ada ia tahun lalu atau lima tahun lalu.

"Saya bercakap mengenai ketika tiada ahli keluarga di rumah saya yang boleh memandu dan saya perlu ke sesi latihan, United menyediakan orang untuk mengambil saya ke pusat latihan dan menghantar saya pulang ketika saya berusia enam, tujuh, lapan, sembilan tahun.

"Ada ketika mereka memberikan kemudahan buat saya apabila ibu saya sedang bergelut di rumah, ketika saya berusia 11  tahun sehinggalah saya berumur 16, 17 tahun.

"Ia lebih mendalam berbanding apa yang orang adakalanya dapat lihat. Saya fikir orang hanya dapat lihat apa yang berlaku selepas saya menyertai pasukan utama tetapi ikatan saya dengan United jauh lebih hebat daripada lima tahun terakhir ini dan ia akan sentiasa lebih hebat daripada seluruh karier saya kerana mereka adalah penyebab saya menjadi pemain bola sepak, mereka memberikan saya peluang untuk mengetengahkan diri dan menyedari saya ada bakat dalam bola sepak," katanya.
 

Advertisement

Must Watch Video