Skip to main content

Bola Sepak

Ramos disanjung sebagai juara sejati

sergio-ramos.jpg
Sergio Ramos dilahirkan sebagai sang juara dan memang berhak untuk muncul sebagai pemegang rekod penampilan Sepanyol, kata bekas jurulatih Sevilla, Joaquin Caparros.

Ramos, 33, menyamai pencapaian Iker Casillas dengan melakukan 167 penampilan bersama skuad La Roja itu dalam kemenangan 4-0 ke atas Kepulauan Faroe dalam kelayakan Euro 2020, semalam. 

Pemain tengah itu, yang membuat kemunculan sulung pada 2005 dan telah memenangi Piala Dunia dan dua edisi Euro, berazam untuk memenangi 200 penampilan sebelum bersara daripada bola sepak antarabangsa.

Caparros, yang memperkenalkan Ramos ke dalam pasukan utama Sevilla -- setahun sebelum dia terpilih untuk mewakili negaranya buat julung kali -- mengatakan ia bukan satu kejutan untuk melihat pertahanan itu di ambang mengatasi rekod penampilan negaranya, sesuatu yang mungkin dilakukannya dalam aksi kelayakan Euro 2020 bertemu Norway, bulan depan. 

"Dia dilahirkan sebagai seorang juara dengan personaliti yang hebat sejak kecil lagi," kata Caparros kepada Radio Marca. 

"Dia mempunyai bakat hebat yang membolehkannya untuk mencapai angka itu.

"Dia tiba di Real Madrid pada usia yang sangat muda dan jika bukan kerana keperibadian dan visinya itu, dia tidak akan mencapai begitu banyak kejayaan dalam kariernya."

Ramos telah menikmati kejayaan hebat di peringkat kelab sejak menyertai Real Madrid pada 2005 dengan memenangi 20 trofi utama, termasuk empat gelaran LaLiga dan empat Liga Juara-Juara (UCL).

Caparros berkata pemain itu sentiasa menunjukkan sikap yang tepat ketika memburu penghormatan.

"Semua jurulatih belia di Sevilla menjadikan Sergio Ramos sebagai panduan," katanya. 

"Dia ingin bermain dan akan memberi tumpuan kepada pemain yang lebih tua. Dia menjadikan pemain seperti Pablo Alfaro, Javi Navarro atau Pep Marti sebagai mentornya.

"Ia bukanlah satu kebetulan bahawa dia akan mencapai karier sejauh ini."

Caparros percaya kritikan yang dilemparkan terhadap pemain itu di Madrid kebelakangan ini, khususnya pada 2019, didorong oleh harapan yang terletak di bahunya. 

"Memenangi segala-galanya adalah DNA kelabnya dan Sergio Ramos merupakan ikon Real Madrid," tambahnya. "Oleh itu, adalah menjadi perkara biasa apabila dia menjadi tumpuan. 

"Sergio Ramos yang sentiasa dahagakan kejayaan akan mengatasi segala situasi negatif yang dihadapinya di Real Madrid tetapi dari sudut pandangan saya, masalah yang dihadapinya adalah secara menyeluruh berbanding menjurus kepada individu."

 

Advertisement

Must Watch Video