Skip to main content

Bola Sepak

Ramos digantung satu perlawanan selepas kasari Messi dalam El Clasico

26417sergio-ramos.jpg
Kapten Real Madrid, Sergio Ramos, menerima penggantungan satu perlawanan selepas dibuang padang kerana mengasari Lionel Messi ketika kalah 3-2 kepada Barcelona dalam aksi El Clasico, Ahad lalu.

Messi menjaringkan gol kemenangan selepas Real kehilangan Ramos, dengan pemain pertahanan itu saling berbalas kata-kata dengan rakan pasukan antarabangsa Sepanyol, Gerard Pique, ketika berjalan meninggalkan padang.

Ramos juga menepuk tangan ketika meninggalkan padang Santiago Bernabeu, dengan rayuan terhadap layangan kad merah itu ditolak oleh Jawatankuasa Pertandingan Persekutuan Bola Sepak Diraja Sepanyol (RFEF), yang menyifatkan terjahan ke arah Messi sebagai "tindakan ganas".

Neymar diharamkan bermain dalam El Clasico apabila secara sinis menepuk tangan ke arah pegawai perlawanan selepas dilayangkan kad merah ketika tewas di Malaga, yang melanjutkan penggantungan daripada satu kepada dua perlawanan untuk pemain antarabangsa Brazil itu.

Tetapi Ramos tidak menerima apa-apa hukuman lagi untuk kad merahnya apabila pengadil, Alejandro Hernandez Hernandez, dalam laporannya tidak menyebut perselisihan dengan Pique atau tepukan kapten Real itu ketika berjalan keluar.

Kemenangan Barcelona dalam aksi El Clasico itu membawa mereka memintas Real untuk naik ke tangga teratas LaLiga, dan kedua-dua pasukan akan beraksi awal pagi nanti, dengan Barca menerima kunjungan Osasuna dan Madrid berkunjung ke Deportivo La Coruna.

Advertisement

Must Watch Video