LIGA SUPER MSIA
Pulau Pinang tidak akan beri laluan mudah kepada JDT -- Sani
Penjaga gol Pulau Pinang, Sani Anuar Kamsani, tidak berasa status pasukan bukan pilihan berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi Liga Super menjadi penghalang buat pasukannya meraih keputusan positif.
Bekas penjaga gol Sarawak itu berkata setiap pemain, termasuk dirinya, perlu mengerah segala kudrat berdepan juara bertahan liga itu di Stadium Batu Kawan, malam ini.
Katanya, JDT akan turun untuk mengukuhkan kedudukan dalam saingan Liga Super yang pastinya menjadi keutamaan mereka selepas terkeluar daripada saingan Piala FA.
Iklan
"Di atas kertas, mungkin kami bukan pasukan pilihan untuk menang. Tetapi kami akan memberi cabaran untuk JDT dan tidak memberi laluan mudah kepada mereka. Kami akan memberikan yang terbaik dalam perlawanan ini."
Pemain kelahiran Selangor itu mengakui jurulatih pasukan, Zainal Abidin Hassan, sudah mencanang pendekatan taktikal untuk berdepan JDT.
Sani menambah kesilapan berdepan Kelantan ketika tumpas 5-1 dalam aksi liga sebelum ini tidak boleh diulangi malam ini.
"Saya berharap rakan-rakan dapat mengikut arahan jurulatih dan menjalankan tanggungjawab masing-masing untuk perlawanan ini.
"Saya harap pasukan boleh melupakan kekalahan kepada Kelantan dan fokus terhadap perlawanan menentang JDT, dan memberikan persembahan yang lebih baik berbanding melawan Kelantan."
Must-Watch Video