Skip to main content

Bola Sepak

Pugliese nafi Felcra tertekan

pugliese.jpg
Jurulatih Felcra FC, Tarcisio Pugliese, menafikan skuad bimbingannya beraksi dalam tekanan selepas sekadar seri 1-1 dengan Terengganu FC (TFC) II dalam aksi Liga Perdana di Kuala Terengganu, malam tadi.

Pendekatan terlalu berhati-hati begitupun disifatkan Pugliese sebagai antara faktor Felcra FC gagal mempamerkan bisa walaupun masih berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 10 perlawanan liga musim ini.

Pengendali kelahiran Brazil itu berkata mereka beraksi dengan baik pada awal babak pertama dan kedua serta menjaringkan gol pendahuluan, namun secara tiba-tiba TFC II kembali menguasai tempo permainan.

"Selepas pasukan lawan menyamakan kedudukan, pemain-pemain mengamalkan hantaran bola tinggi.

"Sukar untuk kami kembali mendapatkan rentak kerana itu bukan falsafah bola sepak Felcra," ujarnya.

Menurutnya, fokus Felcra FC kini ialah kembali memperkemaskan corak permainan dengan aksi berikutnya berdepan lawan sama di Shah Alam pada 21 Mei ini.

Perlawanan malam tadi menyaksikan Felcra FC gagal mempertahankan gol Mohammad Nur Ubaidullah Ab Rahman (m-53), sebaliknya Akanni Sunday Wasiu menyamakan kedudukan 1-1 buat TFC II pada minit ke-61.

Satu mata diraih sudah memadai membolehkan Felcra FC kekal di kedudukan kedua dengan mengumpul 18 mata dengan rekod tanpa kalah manakala TFC II yang memungut 10 mata di tangga kesembilan.

Advertisement

Must Watch Video