Skip to main content

Bola Sepak

Pugliese: Felcra mampu tundukkan Sabah

tarcisio-pugliese.jpg
Walaupun dilabel sebagai pasukan bukan pilihan, Felcra FC membuktikan mereka mampu bersaing di pentas Liga Perdana walaupun baru dinaikkan dari Liga FAM musim ini.

Berdepan Sabah yang nyata memiliki kelebihan daripada segi pengalaman, jelas anak-anak buah Tarcisio Pugliese itu tidak menunjukkan rasa gentar untuk menampilkan corak permainan menyerang.

Jika tidak disebabkan sepakan penalti Lee Gil Hoon pada minit ke-32, sudah pasti jaringan Anselmo Da Silva empat minit sebelum itu mampu menjelmakan tiga mata yang diinginkan Felcra dan perkara itu juga diakui oleh Pugliese.

“Kami cuba memberikan cabaran sejak awal permainan dan mencipta banyak peluang untuk memenangi perlawanan. 

“Kami mampu mencipta kemenangan, malangnya kami menghadiahkan penalti kepada lawan dan ia menjadi sebahagian daripada perlawanan,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Sabah, Jelius Ating, lega anak-anak buahnya mampu mengekang aksi hebat lawan  dan mengutip satu mata sambil menyifatkan Felcra adalah sebuah pasukan yang harus dipandang serius oleh setiap pencabar dalam saingan Liga Perdana musim ini.

“Sememangnya Felcra adalah pasukan yang baru dinaikkan ke Liga Perdana tetapi bagi saya, dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku,” ujarnya.

Advertisement

Must Watch Video