Skip to main content

Bola Sepak

Prestasi Kedah terjejas kerana padang -- Cheng Hoe

16417chenghoe.jpg
Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe, menganggap keadaan padang yang tidak memuaskan di Stadium Perak menjadi punca pasukannya terikat 1-1 dengan The Bos Gaurus dalam aksi Liga Super, malam tadi.

"Secara keseluruhan, kami bermain dengan begitu baik kerana dapat menguasai perlawanan pada malam ini (malam tadi). 

"(Tetapi) mungkin keadaan padang tidak memberikan kami kebaikan kerana corak permainan kami adalah menerusi hantaran. Ia sedikit-sebanyak menjejaskan rentak perlawanan," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Kedua-dua pasukan ini mengimpikan kutipan tiga mata penuh sebagai penutup pusingan pertama Liga Super. 

Bagaimanapun, aksi pada separuh masa pertama menyaksikan Perak mahupun Kedah sekadar menampilkan aksi longlai, gagal menyempurnakan beberapa peluang terhidang di hadapan mata.

Permainan mula rancak pada separuh masa kedua dan hasilnya barisan Mehmet Durakovic akhirnya memecah kebuntuan  menerusi jaringan Mohd Hafiz Kamal yang berpunca daripada sepakan sudut Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak pada minit ke-60.

Buat seketika, Perak memimpin perlawanan, bagaimanapun, skuad Cheng Hoe tidak mahu pulang dengan tangan kosong.

Baddrol Bakhtiar muncul penyelamat menerusi sepakan percuma yang gagal dinafikan penjaga gol Perak, Muhamad Hafizul Hakim, pada minit ke-70.

Jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, turut bersetuju pasukan pelawat gagal menunjukkan gaya hantaran seperti biasa dan, katanya, kalau tidak kerana jaringan sepakan percuma (Baddrol), skuadnya sudah meraih kemenangan.

"Saya tidak boleh salahkan pemain saya kerana mereka bermain sangat baik. Ia hanya kerana satu sepakan percuma berkelas dunia. Jika tidak kerana ini, kami sudah memenangi perlawanan.

"Ia (gol Kedah) bukan daripada permainan cantik mereka, atau daripada hantaran cantik. Ia adalah daripada sepakan percuma. Jadi, saya tidak boleh menyalahkan sesiapa dan saya tidak boleh salahkan pemain saya," katanya.

Advertisement

Must Watch Video