LIGA SUPER MSIA
PKNP bersedia ke Liga Super
PKNP bersedia menyahut cabaran jika diberi peluang beraksi dalam saingan Liga Super musim depan berdasarkan kedudukan Terengganu FC (TFC) II -- dahulunya dikenali sebagai T-Team -- dan FELDA United yang hampir pasti meninggalkan liga elit ini.
Menurut ketua jurulatih Abu Bakar Fadzim, secara keseluruhan PKNP mampu menggalas panggilan itu (Liga Super) berdasarkan senario pencapaian kelab yang cukup memberangsangkan musim lalu.
"Sebagai jurulatih dan saya rasa pemain juga pasti teruja kerana ini impian mana-mana pasukan untuk bersaing dalam liga paling utama. Nampak positif kerana ini memberi cabaran baru kepada PKNP.
Iklan
"Saya mahu lihat sejauh mana PKNP boleh pergi dalam Liga Super jika diberi peluang. Kita tunggu keputusan FMLLP (Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia)," ujarnya.
Sementara itu, jurulatih itu menjelaskan PKNP akan tetap meneruskan persediaan pasukan seperti biasa dan berkata semuanya akan diselesaikan 1 Disember ini.
"PKNP sedang meneliti kesesuaian pemain dan taktikal. Masih dalam rundingan kontrak. Jika kedua-dua pihak setuju, kita tandatangan. Begitu juga dengan pemain import, Ritus Krjauklis dan Gilberto Valdenesio. PKNP seperti biasa agak teliti dalam hal kualiti pemain," tambahnya.
Musim hadapan PKNP kehilangan beberapa pemain, termasuk penyerang profilik, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi, dan pemain import dari Korea Selatan, Kim Hyeon Woo.
Must-Watch Video