PIALA PRESIDEN
Piala Presiden: T-Team, PKNP sama liat
Hasrat skuad Piala Presiden T-Team untuk meraih kemenangan di halaman sendiri dinafikan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC selepas terikat 0-0 dalam aksi Kumpulan B di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, petang tadi.
PKNP lebih menguasai jentera tengah dan hampir mendahului pada minit ke-14, malangnya tandukan Mohamad Adzem Mansor hasil hantaran Mohd Saiful Rizal Termize, sipi ke sebelah tepi pintu gol tuan rumah.
T-Team memperoleh dua sepakan percuma selepas itu, namun percubaan Engku Muhd Nurshakir Engku Yacob dan Mohd Aqil Irfanuddin Sabri tepat ke dakapan penjaga gol pelawat, Shafiq Afifi Suhaimi.
Iklan
Beraksi dalam cuaca panas terik seolah-olah membataskan gerakan kedua-dua pasukan dan kedudukan 0-0 kekal sehingga tamat babak pertama.
Dua minit memasuki separuh masa kedua, Engku Muhd Nurshakir sekali lagi mencemaskan pasukan pelawat dengan sepakan percuma yang berjaya ditepis Shafiq Afifi.
Selepas itu, giliran PKNP menguji barisan pertahanan T-Team, namun rembatan Mohamad Hanif Zahir dari luar kotak penalti mudah ditangkap kemas penjaga gol tuan rumah, Nik Mohd Amin Ahmad.
Mohd Amirul Shafik Che Soh nyaris memecah kebuntuan pada minit ke-57 tetapi tolakannya hasil hantaran Engku Muhd Nurshakir, gagal menerjah jaring.
Gawang PKNP terus cemas selepas sepakan percuma pemain pertahanan tuan rumah, Mohd Aqil, dari jarak jauh singgah mengenai palang gol mereka.
Pada minit ke-78 PKNP beroleh peluang keemasan apabila Ranggi Oftawan Osman berjaya melepasi dua pertahanan T-Team, malangnya rembatan derasnya di dalam kotak penalti, meliar ke sebelah kiri pintu gol tuan rumah.
Kedudukan 0-0 kekal sehingga tamat perlawanan dan satu mata yang diraih T-Team sudah memadai untuk mereka melonjak ke tangga teratas kumpulan, berikutan Negeri Sembilan tunduk 2-0 kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) FC.
T-Team, PKNP dan Negeri Sembilan masing-masing mengumpul 12 mata daripada enam perlawanan, namun kelebihan jaringan memihak kepada pasukan Pantai Timur itu.
Must-Watch Video