Skip to main content

Bola Sepak

Piala Mandiri B-23 ASEAN: Nafuzi tidak goyah kekalahan aksi pemanas badan

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

malaysia-b-23-luqman-hakim.jpg
Bukan keputusan yang dicari, sebaliknya corak permainan mengikut falsafah menjadi agenda utama ketua jurulatih skuad B-23 negara, Nafuzi Zain, mengenai kekalahan tipis skuad kendaliannya kepada Negeri Sembilan dalam perlawanan ujian terakhir, malam tadi, sebelum terbang ke Indonesia bagi menghadapi Piala Mandiri B-23 ASEAN 2025.

Skuad 30 pelatih kebangsaan itu bakal dikecilkan kepada 23 pemain dan antara kriteria yang ditetapkan pengendali berusia 47 tahun itu ialah kesesuaian pemainnya memahami corak permainan 'Nafuzi Ball; yang bakal menjadi senjata utama skuad remaja negara di Indonesia, minggu depan. 

Nafuzi cukup terkenal dengan falsafah bola sepak moden yang menitikberatkan elemen penguasaan bola dalam corak permainannya.

Sepanjang karier kejurulatihannya yang bermula di Terengganu dan Kedah Darul Aman, Nafuzi begitu obses dengan corak menyerang yang kemas dan tersusun.

Atas dasar itu, Nafuzi terus menerus mengaplikasikan pengaruh tersebut bersama skuad B-23 negara menerusi rekod dua kemenangan dalam tiga aksi pemanas badan.

"Falsafah (permainan) memang daripada cara saya tapi mungkin ada sedikit perubahan.

"Dengan persiapan singkat bersama pemain muda tapi kalau mereka dapat ikut percaturan, ia sesuatu yang sangat positif untuk saya. 





"Secara keseluruhannya, pemain-pemain ini mempunyai kualiti. Mereka perlu diberikan sedikit masa dan pengalaman di peringkat lebih tinggi. 

"Kami perlu perbanyakkan perlawanan peringkat antarabangsa untuk memberikan kematangan dan fizikal," katanya. 

Skuad Harimau Muda negara merekodkan kemenangan 1-0 keatas PDRM disusuli kemenangan 4-1 ke atas Melaka.

Pasca tiga perlawanan ujian, Nafuzi sudah mempunyai bayangan awal kesebelasan terbaiknya berdasarkan tahap kefahaman pemain terhadap rencananya.

Dalam pada itu, bekas pemain tengah negara itu tidak menafikan tunjang utama skuad negara berpaksikan kepimpinan terpuji dua pemain berkaliber, Ubaidullah Shamsul Fazili dan Haqimi Azim Rosli.

Nafuzi turut dilihat bergantung harap terhadap bintang muda Johor Darul Ta’zim (JDT), Aysar Hadi Shapri, dalam sistem permainannya.

"Mereka bermain dalam Liga Super dan dipanggil dalam skuad kebangsaan. Nama mereka mungkin lebih besar daripada rakan sepasukan yang lain.

"Mereka ada pengalaman sebagai kepimpinan ketika bersama kelab masing-masing," katanya lagi. 



 

Advertisement

Must Watch Video