Skip to main content

Bola Sepak

Piala Mandiri ASEAN B-23: Saya mungkin bodoh, kata jurulatih Indonesia

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

indonesia-coach-mandiri.jpg
"Saya mungkin bodoh kerana tidak peka dengan peraturan pertandingan," kata ketua jurulatih Indonesia, Gerald Vanenburg, seakan-akan melancarkan perang psikologi menjelang pertemuan menentang Malaysia dalam aksi terakhir Kumpulan A, Piala Mandiri ASEAN B-23 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta malam esok.

Pengendali dari Belanda itu menegaskan fokusnya hanya untuk meraih kemenangan tanpa memikirkan situasi lain untuk kemaraan ke separuh akhir.

Skuad Garuda Muda bimbingannya perlu menang atau seri bertemu Malaysia, namun tersingkir daripada kejohanan andai tewas dengan keputusan lebih daripada dua jaringan.

Vanenburg akan mempertaruhkan skuad terbaik untuk pertemuan dengan dengan penggempur utama, Jens Raven, dijangka kembali mengetuai jentera serangan.

Penyerang kacukan Indonesia-Belanda berusia 19 tahun itu diketepikan dalam kesebelasan utama ketika menewaskan Filipina 1-0 dalam aksi sebelum ini.

"Secara jujurnya, mungkin ia bodoh tetapi saya tidak tahu bagaimana peraturannya," katanya seperti dilaporkan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

"Saya hanya mahu menunjukkan permainan saya dan saya tidak mahu tahu bagaimana kedudukan kami.

"Kami hanya perlu menang perlawanan seterusnya dan hanya itulah cara sepatutnya untuk kami berfikir.

"Kemudian kita akan lihat sama ada ia memadai atau tidak.

"Kerana saya fikir apabila anda mula memikirkan mengenai perkara seperti itu, ia bukanlah perkara yang baik.

"Kami hanya perlu memikirkan untuk mengenai memenangi perlawanan berikutnya dan hanya itulah cara untuk berfikir buat saya," katanya.

 

Advertisement

Must Watch Video