PIALA MALAYSIA
Piala Malaysia: Norizam mohon maaf kepada peminat Kelantan
Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman, memohon maaf kepada peminat The Red Warriors (TRW) atas kekalahan besar 0-10 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi kedua pusingan 16 Piala Malaysia di Iskandar Puteri malam tadi.
Menerusi kemenangan itu, skuad Harimau Selatan berkenaan mara ke suku akhir dengan agregat 15-1.
Norizam, atau lebih dikenali sebagai Zamsaham, mengakui tiada mana-mana pemilik kelab ingin pasukannya kalah dalam setiap aksi yang diharungi.
Iklan
"Saya mohon maaf atas kekalahan 10-0 dengan JDT.
"Saya orang Johor tetapi saya adalah pemilik Kelantan FC. Tiada pemilik mahukan kelabnya kalah seperti semalam.
"Kerana privatisation, saya berada dalam dunia bola sepak,” luahnya di laman Facebooknya hari ini.
Norizam menjelaskan bahawa dia sudah berusaha untuk membawa masuk pengendali baru, Alfredo Vera, dan jurulatih kecergasan, Gonzales Gidi, bagi menguatkan pasukan itu.
Bagaimanapun, dia meluahkan rasa kesal apabila beberapa pemain import baru gagal didaftarkan kerana masalah teknikal berkaitan Transfer Matching System (TMS) Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
“Saya sudah usaha bawa pasukan kejurulatihan baru, jurulatih Alfredo dan Gonzales. Mereka sudah didaftarkan.
“Tetapi pemain import baru tak dapat didaftarkan kerana masalah teknikal TMS yang hanya FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) sahaja boleh bantu bermula pembukaan jendela perpindahan pemain pada 27 Julai lalu.
“Kelantan hanya ada masa empat hari untuk daftar pemain. Masalah teknikal TMS ini sangat mudah diselesaikan tetapi hanya boleh akses selepas 4 Ogos, iaitu selepas tutup pendaftaran pemain asing pada 1 Ogos,” katanya.
Justeru, Norizam percaya Kelantan FC mampu memberi tentangan sengit ke atas JDT sekiranya TRW boleh mendaftarkan pemain import baru.
“Insya-Allah, jika Kelantan boleh daftar (pemain baharu), tentu kita tak kalah seteruk ini. Sikap 'double standard' sesetengah pegawai FAM sangat mengecewakan saya.
“Saya tahu Kelantan FC akan didenda, dikenakan tindakan atas komen ini tapi saya sudah empat tahun dengan Kelantan FC.
“Saya juga tahu Kelantan memang tempat untuk FAM denda. Saya sudah biasa,” katanya.
Kredit: Sinar Harian
Must-Watch Video