Skip to main content

Bola Sepak

Piala FA: Suzuki tekad gegar gawang Sang Badak

bruno-suzuki-210417.jpg
Penyerang import Negeri Sembilan, Bruno Suzuki, sudah tidak sabar untuk merobek gawang Sabah dan secara tidak langsung memecah kemarau jaringannya dalam kancah Piala FA apabila turun dalam pertemuan kedua Piala FA, malam ini. 

Negeri Sembilan membawa bekalan 1-0 hasil pertemuan di Likas, dua minggu lepas. 

Bruno merupakan permata penting buat skuad Jang musim ini. 

Ketajamannya di jentera hadapan dibuktikan dengan meledak lapan gol sepanjang kempen Liga Perdana setakat ini. 

Meskipun begitu, dalam saingan Piala FA, Bruno masih lagi ketandusan gol. 

Justeru, dia berharap dapat menambah koleksi jaringan apabila melayani Sang Badak dalam aksi kedua di peringkat suku akhir di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi. 

"Saya berjaya mencipta peluang gol dalam saingan Piala FA dan saya berasakan jaringan akan menyusul selepas ini," kata pemain kelahiran Brazil itu. 

Bagi rakan sepasukannya, Marko Simic, dia juga bersedia untuk menggalas tugas sama seperti Bruno bagi memimpin Negeri Sembilan mencapai kemenangan penting. 

Simic, yang muncul wira skuad Jang apabila menjaringkan gol penting ketika berkunjung ke Likas pada awal bulan ini, melihat Negeri Sembilan perlu bijak menangani tekanan memandangkan ramai pihak meletakkan ramalan bahawa mereka akan mara ke separuh akhir dengan mudah. 

"Sudah tentu, gol di tempat lawan menyuntik keyakinan kami dan merupakan bekalan yang baik.

"Namun, ia bukanlah jaminan untuk kami berasa selesa kerana setiap perlawanan adalah berbeza antara satu sama lain. 

"Kami perlu berjuang seawal minit pertama dengan menganggap perlawanan ini masih 0-0.

"Itulah pendekatan terbaik untuk kami mencapai kemenangan," ujarnya pemain antarabangsa Montenegro itu. 
 

Advertisement

Must Watch Video