Skip to main content

Bola Sepak

Piala FA: Kedah, Pahang raih kelebihan tipis

kedah-300317.jpg
KEDAH 1 TERENGGANU 0

Kedah meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Terengganu dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Darulaman, malam ini.


Babak pertama bermula dengan penguasaan seimbang oleh kedua-dua pasukan dan Issey Nakajima terlebih dahulu cuba menerjah gawang Kedah pada minit ketiga, namun percubaannya gagal disempurnakan. 

Tersentak dengan gaya permainan skuad kendalian Irfan Bakti, Kedah enggan membuang masa mengorak langkah bagi mencari gol pendahuluan menerusi percubaan Liridon Krasniqi pada minit kelapan yang sekadar melewati palang gol. 

Sandro Da Silva hampir meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan pada minit ke-20 tetapi percubaannya dapat ditepis oleh penjaga gol Terengganu, Amirul Hakim.

Tiada jaringan dihasilkan oleh kedua-dua pasukan sehinggalah minit ke-71, Muhammad Farhan Roslan tidak mensia-siakan hantaran silang Ken Ilso untuk meletakkan Kedah di hadapan.

Beraksi di dalam keadaan yang tertekan, Terengganu terpaksa menamatkan saingan dengan 10 pemain apabila Adib Aizuddin dilayangkan kad merah selepas mengasari Farhan.

Hujan lebat kemudian menyaksikan tiada tambahan jaringan untuk skuad Lang Merah membawa bekalan tipis ke Kuala Terengganu dalam aksi timbal balik nanti.

Dalam satu lagi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Darulmakmur, Kuantan, pasukan tuan rumah turut berkelebihan tipis 1-0 ke atas Negeri Sembilan menerusi jaringan Ashari Shamsudin pada minit ke-81.

Advertisement

Must Watch Video