Skip to main content

Bola Sepak

Piala FA: Demi maruah PKNP tekad buru kemenangan di Ipoh

20417shahrelpknp.jpg
Ketinggalan lima gol bukan alasan untuk PKNP FC mengangkat bendera putih lebih awal kerana mereka masih ada misi untuk mempertahankan rekod bersih di laman sendiri pada musim ini.

Dalam aksi suku akhir pertama Piala FA, 1 April lalu, PKNP dikecewakan Kedah 1-6 di Stadium Darulaman, dan penyerang muda, Muhammad Shahrel Fikri Ahmad Fauzi -- yang kini sudah meledak tujuh gol -- berharap rakan sepasukan tidak lagi gugup berdepan Lang Merah.

Azam pemain berusia 23 tahun itu ialah pasukan berjaya mendapatkan kemenangan demi menjaga nama baik PKNP di Ipoh, esok tanpa mengambil kira keputusan agregat. 

"Kami gugup dalam perlawanan pertama, jadi saya harap rakan-rakan mampu bangkit esok walaupun defisit lima gol memang besar. 

"Sasaran kami dalam perlawanan esok adalah untuk mempertahankan kemenangan di Ipoh. Itu juga sesuatu yang mencabar bagi kami," katanya.

Sementara itu, jurulatih PKNP, Abu Bakar Fadzim, masih menghormati Kedah walaupun mereka baru sahaja dikejutkan dengan kekalahan besar 5-0 kepada T-Team dalam Liga Super, minggu lalu.

Sehubungan itu, dia tetap akan menurunkan barisan terkuat, ditambah kehadiran semula dua pemain import, Vincent Weijl dan Ritus Krjauklis, yang baru sahaja selesai menjalani penggantungan.

Walaupun selang empat hari bakal menentang UiTM di gelanggang lawan untuk aksi Liga Perdana, itu bukan alasan untuknya memberi laluan mudah kepada Kedah.

"Kami akan menurunkan barisan pemain berpengalaman. Saya harap keseimbangan pemain muda dan berpengalaman selain kehadiran semula dua pemain import akan dapat menguatkan PKNP di halaman sendiri," katanya.

Kedah sudah selangkah ke separuh akhir setelah menjaringkan enam gol dan hanya keajaiban yang mungkin boleh membantu PKNP mencipta kejutan dalam aksi kedua esok.

Advertisement

Must Watch Video