Pertahanan tengah Manchester City, John Stones, percaya prestasi dan minit permainan di kelab tidak relevan apabila ia melibatkan Piala Dunia sambil menyokong kapten Manchester United, Harry Maguire, untuk beraksi di pentas besar bersama England.

Stones dan Maguire berpengalaman dalam memimpin negara mereka mara jauh dalam kejohanan besar iaitu separuh akhir Piala Dunia 2018 dan final Euro 2020.

Walaupun Stones, 28, kekal dalam prestasi hebat di City apabila memulakan hampir setiap perlawanan ketika cergas, ia adalah cerita berbeza buat Maguire, 29 tahun, dalam kempen musim ini.

Selepas memulakan dua perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, Maguire lebih banyak memanaskan bangku simpanan selain ditimpa kecederaan hamstring yang menyaksikan dia hanya membuat satu permulaan sejak itu, tatkala Lisandro Martinez dan Raphael Varane menjadi tunjang utama.

Walaupun Maguire tidak membuat persiapan sempurna, Stones sedar gandingannya itu masih berkemampuan untuk beraksi di tahap tinggi jika ketua jurulatih England, Gareth Southgate, memilih untuk mempertaruhkannya.

“Walau apa pun pasukan atau sistem yang Gareth putuskan, jika saya dan Harry digandingkan, kami akan menggunakan persefahaman itu semula,” katanya.


"Elemen seperti permainan, prestasi terlalu kuat untuk dipatahkan ketika kami beraksi. Ia akan terhasil ketika detik-detik ini berlaku.

"Apabila saya melihat Harry, saya melihatnya sebagai seorang pasangan. Dengan segala pengalaman kami, kami saling membantu.

"Kami telah mengharungi begitu banyak perlawanan bersama-sama, kami telah menjalinkan ikatan dan perkongsian ini bersama-sama.

"Kami tahu tindakan rakan sepasukan dan kami saling sedar apa yang perlu dilakukan dan bagaimana boleh membentuk gandingan terbaik. Ia sangat menarik."

England bakal memulakan kempen mereka menentang Iran pada 21 November sebelum menutup peringkat kumpulan dengan perlawanan menentang Amerika Syarikat dan Wales.