Skip to main content

Bola Sepak

Piala Dunia Qatar: Jadual tengah musim EPL pastikan pemain England cergas -- Beckham

england.jpg
David Beckham berkata jadual sepak mula Piala Dunia Qatar boleh memberi kelebihan kepada England dalam misi barisan kendalian Gareth Southgate itu untuk menamatkan penantian selama 56 tahun mengecapi kejayaan besar.

Skuad The Three Lions mara ke separuh akhir edisi di Russia empat tahun lalu sebelum tersingkir menerusi sepakan penalti kepada Itali dalam final Euro 2020 tahun lalu.

England masih dianggap antara pilihan untuk menjulang Piala Dunia biarpun menyajikan persembahan longlai dalam Liga Negara-Negara Eropah (UNL) bulan ini yang menyaksikan mereka ditumbangkan Hungary dan seri dengan Jerman dan Itali.

Beckham pernah beraksi dalam tiga temasya Piala Dunia dalam 115 penampilannya di peringkat antarabangsa tetapi masih buntu menghasilkan kejayaan bersama England. 

Tetapi menjelang sepak Kumpulan B menentang Iran pada 21 November depan, Beckham percaya masa kejohanan itu dianjurkan mungkin sesuai dengan pasukan bimbingan Southgate.


 

“Secara peribadi saya rasa untuk pasukan kami, ia satu peluang besar,” katanya kepada bekas rakan sepasukan England dan Manchester United, Gary Neville, dalam podcast The Overlap.

“Seperti yang anda katakan, mereka tidak pernah menggunakannya keletihan sebagai alasan dalam kejohanan sebelum ini tetapi sejujurnya, setiap kali kami hadir ke temasya ialah ketika di penghujung musim Liga Perdana Inggeris (EPL) yang melelahkan – liga paling sukar di dunia dan mereka penat, mereka mahu berehat.

"Pemain tidak mempunyai masa untuk pulih daripada musim yang sukar. Tetapi untuk edisi ini pemain-pemain akan turun ketika mereka berada di puncak prestasi, mereka berada di pertengahan musim jadi tiada sebab dan tiada alasan lagi bahawa mereka tidak mampu menjelmakan puncak permainan mereka.

"Bagi pemain England, ini adalah satu peluang besar. Kami mempunyai pasukan muda yang menarik, kami mempunyai pengurus yang telah lama bersama pemain ini.





"Saya sangat suka melihat pasukan England ini beraksi. Permainan mereka menarik, mereka bermain dengan penuh semangat, mereka bermain seperti mereka mahu berada di sana. Sebagai peminat England, itulah yang anda mahu lihat.

"Tiba-tiba sahaja peminat kami mula memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada pasukan ini. Peminat bukanlah tidak cintakan pasukan kebangsaan cuma hubungan sebelum ini agak renggang.

"Sekarang hubungan mereka sudah pulih. Saya rasa Gareth telah melaksanakan satu tugas yang luar biasa ke atas pasukan ini untuk menjadikan bola sepak benar-benar global."

Advertisement

Must Watch Video