Skip to main content

Bola Sepak

Piala Cabaran: TFC II mahu kekal rekod tanpa kalah

tfc-ii.jpg
Juara bertahan, Terengganu FC II (TFC II), membawa misi untuk mengekalkan rekod tanpa kalah ketika bertemu UKM FC dalam Piala Cabaran, malam esok.

Pertembungan di Cheras itu akan menjadi aksi ke-10 kedua-dua pasukan dengan lima kemenangan direkodkan TFC II serta empat keputusan seri sejak musim lalu.

Ketua pasukan, Mohd Hasbullah Awang, berkata selain misi tersebut, turut diburu adalah kedudukan teratas Kumpulan B dengan kedua-dua pasukan terikat dengan 10 mata.

"Hanya perbezaan gol memisahkan kedua-dua pasukan ketika ini dan kami jangka UKM pasti berhabis-habisan di tempat sendiri.

"Walaupun sudah sah ke separuh akhir, TFC II tidak akan beri laluan mudah ketika bertemu UKM dan seterusnya mengekalkan rekod tanpa kalah," katanya.

Sementara itu, jurulatih TFC II, Tengku Hazman Raja Hassan, lega dengan kembalinya pemain sayap, Mohd Ridzuan Razali, dan bek tengah, Aqil Irfanuddin Sabri, daripada kecederaan.

Barisan terbaik akan diturunkannya, termasuk penjaring terbanyak, Bruno Suzuki, serta Akanni Sunday Wasiu, yang menjaringkan gol pertamnya dalam 13 perlawanan, minggu lalu.

"Kami tidak boleh menunggu pada penghujung permainan untuk 'membunuh' pasukan lawan seperti perlawanan lalu.

"(Sukar) tapi UKM berada di atas TFC II ketika ini dan kami tiada pilihan selain mengalahkan mereka," ujar bekas pemain tengah kebangsaan itu.

Kredit foto: Terengganu FC (TFC)

Advertisement

Must Watch Video