BOLA SEPAK
Piala Asia B-23: Skuad Malaysia tekad beri saingan kepada Korea Selatan
Di sebalik kegagalan skuad B-23 negara membawa pulang pingat dalam Sukan SEA Hanoi, ketua jurulatih, Brad Maloney, kekal optimis barisan kendaliannya berupaya untuk menghadirkan cabaran dalam aksi pertama Kumpulan C, Piala Asia menentang Korea Selatan di Uzbekistan, malam esok.
Biarpun melabel skuad Taegeuk Warriors berada dalam kelas yang berbeza, Maloney enggan pemain negara terlalu menghormati pasukan kendalian Hwang Sun-hong itu dan akan bermain mengikut perancangan seperti yang telah dirancang.
Barisan kendaliannya hadir dalam pertemuan di Stadium Lokomotiv itu dengan misi untuk merencatkan permulaan kempen juara bertahan kejohanan berkenaan.
Iklan
"Korea Selatan merupakan sebuah pasukan berkelas dunia dan juga penyandang juara.
"Mereka memiliki beberapa pemain berkelas dunia yang masih bermain lagi dalam kejohanan ini dan beraksi bagus dalam pusingan kelayakan.
"Kami amat menghormati mereka dan sudah tentu kami akan lebih berwaspada.
"Tapi anak buah saya tidak pernah gentar untuk berdepan sesiapa sahaja," katanya dalam sidang media hari ini.
Biarpun tidak diletakkan sebarang sasaran dalam kempen kali ini, Maloney tetap menyasarkan skuad kendaliannya mempamerkan aksi kompetitif meskipun bakal menghadapi cabaran terbesar di peringkat kumpulan dengan kelibat Thailand dan Vietnam.
"Korea Selatan salah satu pasukan pilihan kejohanan dan dijangka akan melepasi peringkat kumpulan.
"Jadi bagi pasukan lain dalam kumpulan ini, ia satu cabaran.
"Biarpun tidak menetapkan sebarang sasaran, namun sudah tentu kami mahu kompetitif dan mara sejauh mungkin dalam setiap kejohanan yang disertai," katanya.
Must-Watch Video