Skip to main content

Bola Sepak

Pertembungan Man United-Liverpool bukan penentu kejuaraan EPL -- Klopp

klopp.jpg
Jurgen Klopp menyasarkan tiga mata ketika berdepan Manchester United malam ini (10.00 malam) tetapi pengurus Liverpool berkenaan menegaskan kemenangan di Old Trafford tidak akan menjamin mereka gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL).

Liverpool berpeluang untuk menjarakkan tiga mata dengan Manchester City di puncak liga sekiranya mereka mampu menghadiahkan kekalahan domestik pertama kepada pengurus sementara United, Ole Gunnar Solskjaer.

Dengan City akan beraksi dalam final Piala Liga Inggeris (EFL), pertembungan Liverpool dengan United merupakan peluang mereka untuk menentukan nasib sendiri dan menjadi detik penting untuk menyempurnakan kempen musim ini. 

Bagaimanapun, Klopp hanya berminat untuk menekankan bahawa pasukannya masih mempunyai banyak perlawanan sukar yang lain dalam beberapa minggu akan datang yang perlu mesti diberi fokus sepenuhnya.

"Kami mahu memenangi perlawanan ini dan memiliki kelebihan tiga mata ke atas City," kata Klopp kepada wartawan.

"Adakah kemenangan ke atas United bernilai lebih daripada tiga mata? Tidak, ini kerana kami masih perlu menghadapi Tottenham dan Chelsea serta pasukan sukar yang lain sebelum akhir musim ini. 

"Kami sebenarnya akan menghadapi tiga perlawanan getir minggu ini dan United adalah salah satu daripadanya. Selepas ini kami akan menentang Watford yang merupakan pasukan mantap dan boleh setaraf kelompok enam teratas jika mereka lebih konsisten, kemudian kami akan bertandang ke Everton.

"Everton pasti akan turun dengan semangat seperti beraksi dalam final Piala Dunia memandangkan kami menang di Anfield dengan gol pada minit ke-96."

Klopp menambah: "Jika anda berada di kedudukan kami, di puncak liga mahupun dalam kedudukan terbaik untuk merebut gelaran, maka setiap perlawanan akan menjadi penting.

"United kelihatan dalam prestasi yang sangat baik. Solskjaer telah meletakkan mereka kembali ke landasan sebenar dan sekiranya kami boleh menang di sana, ia akan menjadi keputusan yang luar biasa tetapi dengan tiga mata yang akan dikutip, nilainya tetap sama dengan perlawanan lain. 

"Jika kami boleh kekal ampuh sehingga hujung musim ini, semuanya akan baik-baik saja. Kami tidak boleh meletakkan banyak kepentingan dalam satu keputusan."











 

Advertisement

Must Watch Video