Skip to main content

Bola Sepak

Penyokong maut gara-gara perselisihan aksi 'derby'

belgrano-180417.jpg
Seorang peminat yang cedera dalam pertempuran ganas di antara peminat semasa perlawanan Belgrano bertemu Talleres Cordoba dalam Liga Argentina, meninggal dunia.

Emanuel Barbo berada dalam keadaan koma di hospital selepas diserang oleh sekumpulan penyokong dalam perlawanan 'derby' di Estadio Mario Alberto Kempes, menurut laporan media tempatan.

Rakaman memaparkan lelaki itu bergegas menuruni tempat duduk penyokong bagi mengelak daripada diserang sebelum dia terjatuh ke tangga konkrit.

Seorang lagi penyokong, Diego Frydman, turut tercedera dalam kejadian itu, kata kelab itu selepas perlawanan.

"Kelab Atletico Belgrano berdukacita dengan kematian Emanuel Balbo," kata Belgrano sambil menerangkan berita itu sebagai "hari yang sangat menyedihkan bagi seluruh keluarga Sky Blue".

Belgrano menggesa peminat untuk "merenung ke dalam (tragedi berkenaan) dan keamanan" sambil berjanji untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa "agar keadilan dapat ditegakkan demi Emanuel".

"Ini bukan soal memberi ucapan yang berkesan di sini, tetapi mengenai tindakan yang perlu diambil," kata mereka. "Itulah komitmen sebenar kelab ini.

"Takziah kepada keluarga dan rakan-rakan. Berehatlah dengan aman, Emanuel."

Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) mengutuk kejadian itu dan berikrar untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mencari pelakunya.

"AFA bersama keluarga Emanuel Balbo dalam tempoh sukar dan menyakitkan ini serta mengutuk sekeras-kerasnya tindakan jenayah yang berlaku dalam perlawanan di antara Belgrano dan Talleres de Cordoba," menurut satu kenyataan yang dikeluarkan. 

"Kami menolak semua perilaku ganas ini, mereka adalah penjenayah yang melakukan begitu banyak kerosakan kepada masyarakat secara keseluruhannya, terutama kepada keluarga bola sepak.

"Kami akan menawarkan kerjasama sebaik mungkin dengan pihak keselamatan untuk mengheret mereka yang bertanggungjawab, dan memastikan langkah-langkah yang perlu dalam memastikan insiden seperti ini tidak akan berlaku lagi dalam mana-mana stadium bola sepak di Argentina."

Perlawanan itu berkesudahan 1-1 yang menyaksikan Belgrano menduduki tangga kedua tercorot saingan peringkat tertinggi Argentina.

Advertisement

Must Watch Video