Skip to main content

Bola Sepak

Penggunaan VAR tingkatkan profesionalisme pengadilan -- David Usop

david-usop.jpg
Ketua jurulatih Sarawak, David Usop menyambut baik hasrat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memperkenalkan pengadil bantuan video (VAR) untuk kejohanan tempatan.

Menurutnya, dengan teknologi yang semakin berkembang kini, bantuan alat seperti itu adalah perlu, apatah lagi ia dapat meningkatkan mutu pengadilan.

"Pengadil tidak berada di semua tempat pada setiap masa.

"Juga kadang-kala tumpuan pembantu pengadil tidak kepada semua pemain, terutama  berkait kekasaran yang terlindung ataupun jaringan melepasi garis gol, tetapi tidak menerjah jaring.

Oleh itu, kata David, langkah memperkenalkan VAR ini akan meningkatkan mutu pengadilan.

"Tidak ada alasan untuk membuat keputusan tidak adil atau berat sebelah.    

"Ia seharusnya menjadikan pengadil lebih profesional, terutama daripada aspek layangan kad," jelasnya.

Dari sudut yang lain, tambahnya, ia dapat mengurangkan emosi pemain, malah dapat mengawal situasi penonton, apabila masing-masing dapat melihat "ulang tayang" sesuatu insiden secara "real time".

"Saya merakamkan tahniah dan terima kasih kepada Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, atas inisiatif ini.

"Ia berita yang sangat baik kepada kami para pemain dan jurulatih," ujarnya.

Penggunaan teknologi VAR mula diluluskan oleh Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB) pada Jun lalu.

Ia kemudian dipraktiskan sewaktu perlawanan persahabatan antarabangsa di antara Perancis dan Itali.

Selepas perlawanan ujian itu, penggunaan VAR akan diperkenal dalam Liga Utama Bolasepak (MLS) di Amerika Syarikat dan Bundesliga di Jerman pada musim ini.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, semalam berkata pihaknya akan mengadakan mesyuarat dengan pengadil hari ini mengenai penggunaan teknologi tersebut.

Advertisement

Must Watch Video