Skip to main content

Bola Sepak

Pengasas 'Tarian Paqueta' berdepan hukuman gantung seumur hidup

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

lucas-paqueta.jpg
Pemain West Ham, Lucas Paqueta, berdepan hukuman berat daripada Persatuan Bola Sepak England (FA) berikutan terlibat dalam isu atur perlawanan. 
 

Perbicaraan pertuduhan pertaruhan Lucas Paqueta akan berlangsung bulan ini dan akan berlangsung selama tiga minggu, menurut Sky Sports News.

Pemain skuad kebangsaan Brazil itu didakwa melanggar peraturan pertaruhan pada Mei tahun lalu.

Difahamkan dia akan menghadapi perbicaraan selama tiga minggu bulan ini, yang bakal menjadi antara prosiding mahkamah paling lama dalam sejarah FA.

Badan induk bola sepak Inggeris memohon penggantungan seumur hidup untuk pemain tengah itu.

Paqueta didakwa melakukan kesalahan dalam empat perlawanan Liga Perdana Inggeris. 

Pemain yang mengasas 'Tarian Paqueta' itu menafikan sebarang salah laku tetapi FA telah mendakwanya berhubung kelakuannya dalam perlawanan menentang Leicester pada November 2022, Aston Villa pada Mac 2023, Leeds pada Mei 2023 dan Bournemouth Ogos lalu.



Tuduhan FA dari 2024 menyatakan bahawa Paqueta cuba 'mempengaruhi kemajuan, kelakuan, atau mana-mana aspek lain, atau kejadian dalam perlawanan ini dengan sengaja mengundang kad daripada pengadil bagi tujuan yang tidak wajar hingga menjejaskan pasaran pertaruhan agar satu atau lebih orang mendapat keuntungan daripada pertaruhan."

Paqueta juga didakwa atas dua pelanggaran Peraturan FA F3 berkenaan dengan dakwaan kegagalan mematuhi Peraturan FA F2, yang berkaitan dengan penyediaan maklumat dan dokumen.

Dalam satu kenyataan pada masa itu Paqueta berkata, "Saya amat terkejut dan kecewa kerana FA telah memutuskan untuk mendakwa saya.

“Selama sembilan bulan, saya telah bekerjasama dengan setiap langkah siasatan mereka dan memberikan semua maklumat yang saya mampu.

"Saya menafikan pertuduhan secara keseluruhannya dan akan berjuang dengan setiap nafas untuk membersihkan nama saya. Disebabkan proses yang sedang berjalan, saya tidak akan memberikan sebarang ulasan lanjut."

 

Advertisement

Must Watch Video