Skip to main content

Bola Sepak

Pemain perlu bersatu tangani masalah perkauman -- Lukaku

lukaku_1.jpg
Romelu Lukaku menyeru seluruh pemain bola sepak bersatu menentang penindasan terhadap perkauman dan menggesa syarikat media sosial untuk mengatasi masalah berkenaan selepas penyerang itu dicemuh penyokong Cagliari kelmarin.

Inter meraih kemenangan 2-1 di Sardinia hasil jaringan Lukaku menerusi sepakan penalti tetapi laungan seperti monyet kedengaran daripada barisan penonton ketika pemain kebangsaan Belgium itu bersiap sedia mengambil sepakan.

Selepas menjaringkan gol, dia merenung semula ke arah barisan penyokong tersebut berbanding meraikan jaringannya.

Ia merupakan insiden keempat melibatkan penyokong Cagliari dalam tempoh dua tahun, dengan Sulley Muntari, Blaise Matuidi dan Moise Kean menjadi mangsa cemuhan berunsur perkauman sebelum ini.

Bekas rakan sepasukan Lukaku di Manchester United, Marcus Rashford dan Paul Pogba, turut terkena musim ini dan Lukaku menuntut usaha yang lebih besar daripada pihak berkepentingan untuk menghapuskan diskriminasi.

"Ramai pemain bola sepak sejak bulan lalu terpaksa menghadapi serangan yang sama," kata Lukaku menerusi Instagram. "Saya juga menghadapinya Ahad lalu.

"Bola sepak adalah permainan dinikmati semua orang dan kami tidak boleh menerima sebarang tindakan mendiskriminasi yang mampu memalukan sukan ini.

"Saya berharap pihak berkuasa menghapuskan masalah ini.

"Pada tahun 2019, perkara ini masih lagi tidak dapat diselesaikan dan saya berasakan setiap pemain harus bersatu untuk menjadikan sukan ini lebih bersih dan mampu dinikmati oleh setiap individu."

Cagliari mengeluarkan kenyataan semalam mengutuk tindakan tersebut dan berikrar untuk mengharamkan mereka yang bertanggungjawab di atas tindakan tidak bermoral itu.

Advertisement

Must Watch Video