Skip to main content

Bola Sepak

Pellegrini dakwa Man City guna taktikal kekasaran

john-stones.jpg
Manuel Pellegrini mendakwa Manchester City menggunakan taktikal kekasaran ketika menewaskan West Ham 5-0, malam tadi.

Skuad kendalian Pep Guardiola itu memulakan misi mempertahankan kejuaraan mereka dengan kemenangan meyakinkan di Stadium London ihsan jaringan Gabriel Jesus, Sergio Aguero dan hatrik Raheem Sterling.

Pengurus The Hammers, Pellegrini, berasakan pemainnya terlalu "naif", terutama dalam babak pertama, apabila mereka terlalu mudah memperoleh sepakan percuma ketika berada di posisi yang baik.

"Setiap kali kami cuba untuk menghampiri kawasan penalti mereka, mereka melakukan kekasaran. Kami terlalu naif tentang itu.

"Jika anda melihat semula perlawanan, ia menjadi penyebab mengapa kami tidak dapat mencipta banyak peluang dalam babak pertama.

"Setiap gerakan menyerang kami akan ditamatkan dengan kekasaran.

"Anda boleh lihat kepada statistik.

"Mereka melakukan 13 kekasaran dan kami hanya lima.

"Namun, itu bukan alasan mengapa kami tewas," katanya.

Berdasarkan data Opta, West Ham membenarkan enam sepakan percuma manakala City pula 13, namun pelawat mendahului 8-1 daripada segi kesalahan dalam babak pertama.

Hanya Kyle Walker dan Sterling merupakan pemain City yang dilayangkan kad kuning, dengan pengadil, Mike Dean, melayangkannya pada minit ke-87 dan dalam waktu kecederaan babak kedua.

Ia bukan kali pertama City didakwa menggunakan pendekatan berkenaan.

November lalu, bekas kapten Manchester United, Gary Neville, berkata Fernandinho amat gembira untuk melakukan kekasaran bagi menghentikan serangan balas lawan sambil Guardiola memberikan respons: "Pasukan saya tidak pernah fokus untuk melakukan sesuatu yang salah kepada pihak lawan."

Guardiola sekali lagi terpaksa menjawab tuduhan sama April lalu apabila Ole Gunnar Solksjaer mendakwa City gembira untuk memberikan sepakan percuma untuk menyekat United dalam perlawanan 'derby'.

"Saya tidak pernah menyediakan pasukan sepanjang 10 tahun sebagai pengurus untuk memikirkan tentang perkara seperti itu. Tidak pernah," katanya.

Pellegrini berasakan pendekatan City untuk menghalang West Ham daripada melakukan serangan itu merupakan salah satu faktor pemisah dalam babak pertama yang berlangsung seimbang, namun menegaskan dia tidak berasakan ia merupakan satu-satunya sebab mereka tewas besar.

Ketika ditanya sama ada pemainnya perlu menggunakan taktik sama, dia berkata: "Kami perlu menjadi lebih bijak dan perlu tahu bila perlu melakukan kekasaran, bukan menggunakannya sebagai satu sistem.

"Jika anda melihat semula, kami tidak mencipta banyak peluang kerana banyak serangan kami dihentikan dengan kekasaran.

"Namun saya ulanginya, saya tidak rasa ia menjadi penyebab kami tewas 5-0," katanya lagi.

Advertisement

Must Watch Video