LIGA SUPER MSIA
Pahang bangkit di Kota Bharu
Pahang memastikan mereka kekal rapat di belakang pendahulu Liga Super, Kedah, selepas bangkit daripada ketinggalan untuk mengatasi Kelantan 2-1 di Stadium Sultan Mohammed Ke-IV, Kota Bharu, malam ini.
Skuad kendalian Dollah Salleh dikejutkan terlebih dahulu dengan jaringan pasukan tuan rumah pada minit ke-16.
Import Lubnan, Mohammed Ghaddar, berjaya menewaskan barisan pertahanan Pahang dengan gerakan solo sebelum menyumbat gol pembukaan perlawanan.
Iklan
Meskipun mendahului, Kelantan gagal mengawal perlawanan, sebaliknya membuka peluang buat Tok Gajah melakukan asakan.
Bermula babak kedua, gol penyamaan Pahang berjaya dilunaskan menerusi bekas pemain Kelantan, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, pada minit ke-60.
Menerima hantaran Matheus Alves, pemain berusia 25 tahun itu melepaskan rembatan kaki kiri yang gagal diselamatkan Khairul Fahmi Che Mat.
Tersentak, Kelantan tampak bertambah goyah dan hasilnya, Pahang sekali lagi merobek gawang tuan rumah dengan gol kedua, dua minit selepas itu.
Import Brazil, Alves, bijak menewaskan Khairul Fahmi sebelum melepaskan rembatan ke gawang.
Dalam perkembangan lain, pengendali Perak, Mehmet Durakovic mampu menarik nafas lega dengan kutipan satu mata selepas hampir dikecewakan T-Team di laman sendiri.
Meskipun terlebih dahulu mendahului perlawanan menerusi jaringan Yashir Pinto pada minit ke-12, namun Perak gagal mengekang kebangkitan T-Team dalam babak kedua.
T-Team menyamakan kedudukan menerusi Dilshod Sharofetdinov pada minit ke-48 sebelum Fakhrurazi meledak gol kedua pada minit ke-71.
Tatkala skuad kendalian Rahmad Darmawan dilihat bakal bawa pulang tiga mata, pengadil menganugerahkan sepakan penalti buat Perak di hujung perlawanan apabila mendapati bola terkena tangan pemain T-Team di dalam kotak penatli.
Hasilnya, Hadi Yahya berjaya menyempurnakan sepakan tersebut bagi memastikan kedua-dua pasukan berkongsi mata.
Keputusan perlawanan lain:
Kedah 1-1 PKNS FC
Selangor 2-1 Sarawak
Must-Watch Video