Skip to main content

Bola Sepak

Neymar bantu Brazil ikat Colombia

neymar-2.jpg
BRAZIL 2 COLOMBIA 2 

Neymar meledak satu gol dan mencipta satu bantuan jaringan yang menyaksikan bintang Brazil berkenaan membuat kemunculan yang amat dinanti-nantikan juara Amerika Selatan itu apabila seri 2-2 dengan Colombia dalam aksi persahabatan di Stadium Hard Rock, Amerika Syarikat (AS), sebentar tadi. 


Kecederaan pergelangan kaki telah mengetepikan Neymar sejak Jun lalu sehingga memaksa ayam tambatan Paris Saint-Germain (PSG) itu terpaksa melupakan kempen Copa America 2019 sambil dia mengintai kesempatan untuk kembali ke Barcelona.

Pemain berusia 27 tahun itu -- yang gagal kembali ke pangkuan Barca -- membuat penampilan pertamanya musim ini, baik untuk kelab mahupun negara, di Miami dengan mencipta gerakan kepada jaringan pembukaan Casemiro sebelum menyamakan kedudukan pada minit ke-58.

Dua ledakan daripada penyerang, Luis Muriel, memadamkan gol pendahuluan Casemiro pada minit ke-19 tetapi Neymar muncul penyelamat selepas 13 minit babak kedua bersambung yang menyaksikan skuad kendalian Tite itu melebarkan rekod tanpa kalah mereka. 

Ketika Brazil mengalu-alukan kehadiran semula Neymar, Colombia kehilangan pasangan bintang, James Rodriguez dan Radamel Falcao, yang menyertai gergasi Turki, Fenerbahce, sebelum tamat pintu perpindahan akibat kecederaan.

Begitupun, Colombia membuat permulaan yang menarik dan tampil lebih baik apabila Juan Cuadrado dan Yerry Mina hampir membuka tirai jaringan. 

Neymar agak tenggelam dalam babak pertama, namun sepakan penjurunya berjaya menemui Casemiro -- pemain tengah Real Madrid terbabit melonjak tinggi untuk mengatasi David Ospina -- yang menerjah ke gawang untuk skuad Samba itu mendahului permainan.

Jaringan Brazil itu tidak bertahan lama apabila Colombia menyamakan kedudukan lima minit kemudian menerusi Muriel, yang menyudahkan sepakan penalti setelah dikasari Alex Heero yang dipersalahkan kerana mengangkat tinggi kakinya.

Richarlison mempunyai peluang menarik untuk memulihkan kelebihan Brazil tetapi sepakan lencong bintang Everton itu hanya sedikit melewati sasaran ketika merapati setengah jam permainan.

Colombia kemudian menyumbat gol pada minit ke-30 tetapi ia dibatalkan akibat ofsaid, namun Muriel menebus kekecewaan itu empat minit berselang. 

Serangan balas cantik daripada Roger Martinez menyaksikan Duvan Zapata menerima bola dan menghantarnya kepada Muriel di bahagian sayap sebelum penyerang itu menewaskan penjaga gawang, Ederson.  

Ospina kemudian memastikan pintu gol Colombia terselamat apabila meluru keluar untuk menggagalkan usaha Richarlison.

Brazil kembali ke padang dengan keyakinan dan semangat baru apabila hampir kembali di depan, tujuh minit sebaik babak kedua bersambung tetapi usaha Philippe Coutinho itu sedikit sipi selepas dia mempamerkan kawalan bola yang menarik. 

Coutinho menjadi nadi kepada gol penyamaan untuk skuad Selecao itu pada minit ke-58. 

Pemain pinjaman Bayern Munich tersebut membuat hantaran cantik dari tengah padang kepada Dani Alves untuk disudahkan Neymar dari jarak enam ela ketika pintu gol sudah terbentang. 

Advertisement

Must Watch Video