Skip to main content

Bola Sepak

Mungkin dia adalah yang terbaik -- Guardiola puji Conte

conte.jpg
Pep Guardiola percaya dia berpeluang untuk menguji keupayaan taktikalnya ketika Manchester City menentang pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea, di Stamford Bridge, awal pagi esok. 

City disebut-sebut sebagai juara berpotensi di bawah kendalian bekas jurulatih Barcelona dan Bayern Munich itu musim ini, bagaimanapun mereka tercicir di tangga keempat -- 11 mata di belakang The Blues berikutan rentetan tiga keputusan seri baru-baru ini.

Chelsea mengalami kekalahan mengejut apabila tumbang 2-1 kepada Crystal Palace pada hujung minggu lalu, namun ramalan pra-musim Guardiola dalam biografi, "Pep Guardiola: The Evolution" oleh Marti Perarnau, yang mendakwa Conte dan Chelsea boleh menjadi lawan paling sukar buatnya di England, terbukti tepat.

"Pendapat saya tentang rakan sejawatan, Antonio Conte -- dia adalah pengurus hebat, mungkin dia adalah yang terbaik buat masa ini dari segi bagaimana mereka bermain," ujar Guardiola dalam sidang akhbar pra-perlawanan.

"Bukan sekadar di sini sahaja, dia mampu membuat Itali bermain cantik, Juventus juga dalam budaya bola sepak bertahan.

"Dia seorang pengurus yang cemerlang, banyak yang saya pelajari apabila saya menonton pasukannya -- Juventus, Itali dan ketika ini (Chelsea). Apabila saya menyaksikan pasukan seperti itu, banyak perkara yang saya sukai. 

"Saya suka untuk berbuat demikian. Pasukan-pasukan seperti itu mengawal banyak aspek. Ia satu pengajaran yang baik bagi saya untuk melihat pasukan bimbingannya dan belajar daripada mereka."

Dalam pertemuan pada Disember lalu, City mendahului menerusi gol sendiri oleh Gary Cahill tetapi ledakan Diego Costa, Willian dan Eden Hazard dalam tempoh setengah jam terakhir memastikan kemenangan 3-1 berpihak kepada Chelsea.

Tuan rumah kemudian terjebak dengan perbalahan dalam masa kecederaan yang menjadi punca penjaring terbanyak, Sergio Aguero, dan Fernandinho dibuang padang. 

Akibat ketiadaan mereka, City tewas 4-2 kepada Leicester City dan kehilangan momentum dalam perebutan kejuaraan.

Bagaimanapun, Guardiola bersikap positif sempena menghadapi Chelsea dan mengekalkan pendirian bahawa anak buahnya adalah lebih baik di sebalik ketumpulan penyudah. 

"Percayalah,  banyak kali saya menonton rakaman perlawanan itu -- kami jauh lebih baik," katanya. "Saya minta maaf Antonio, tetapi kami adalah lebih baik.

"Kami berhak untuk menang. Ketika itu, kami ketinggalan satu mata, kemudian kami pergi ke Leicester tanpa Sergio.Tiga lagi mata tercicir dan menjadikan kami ketinggalan 10 mata. Itulah perincian minimum yang saya boleh berikan."

Guardiola dijangka akan sibuk dengan aktiviti memancing pemain dalam usahanya membentuk semula skuad City, selepas seri 2-2 dengan Arsenal, Ahad lalu. 

"Kami bercakap setiap hari mengenai apa yang kami lakukan untuk meningkatkan kualiti pemain sedia ada dan perlukan pada masa akan datang," katanya. 

"Kami boleh melakukannya dengan lebih baik dan sudah tentu, membeli beberapa pemain baru untuk membantu kami menjadi lebih mantap.

"Tetapi, semua pasukan akan berfikir mengenainya. Bahkan Chelsea akan membeli pemain. Ia akan membuat EPL saingan luar biasa, setiap kelab akan cuba untuk memperbaiki prestasi mereka.

"Saya masih ingat Sir Alex Ferguson akan memenangi kejuaraan dan gelaran dan pada setiap musim, dia akan mengubah pemain. Anda perlu berbuat demikian."
 

Advertisement

Must Watch Video