LIGA SUPER MSIA
Muhammad Nasir mahu tanding jawatan presiden KAFA
Persaingan merebut jawatan presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) semakin menarik apabila naib presidennya, Datuk Muhammad Nasir Hamzah, secara terbuka menyatakan kesediaan untuk bertanding jawatan presiden berdasarkan kekuatan pengalaman yang dimiliki.
Katanya, sokongan kuat daripada beberapa pihak mendorong beliau mengumumkan hasrat menerajui KAFA bagi penggal 2017 hingga 2021.
“Saya rasa terpanggil untuk menjawab segala pertanyaan dan dengan ini mengumumkan kesediaan bertanding bagi jawatan presiden KAFA memandangkan kerusi itu masih kosong selepas Tan Sri Annuar Musa melepaskan jawatan, November lepas.
Iklan
“Berdasarkan pengalaman yang dimiliki (enam tahun dalam KAFA), saya yakin dapat membentuk satu pasukan yang mantap bagi mengembalikan semula zaman kegemilangan bola sepak Kelantan,” katanya.
Ditanya mengenai desakan peminat dan persatuan bolasepak jajahan (PBJ) yang mahukan calon presiden bebas daripada pengaruh politik dan agenda peribadi, Muhammad Nasir sependapat tetapi tetap mengakui kepentingan bantuan politik untuk sama-sama membangunkan bola sepak Kelantan.
“Saya pun berkongsi pandangan yang sama dengan PBJ tetapi saya rasa kita tidak boleh lari daripada politik. Kadang-kadang kita memerlukan bantuan politik untuk sama-sama memajukan bola sepak Kelantan,” katanya.
Untuk rekod, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) akan mengadakan Kongres Agung Tahunan Kali ke-63 pada 17 September ini dan mempelawa calon yang berkelayakan untuk memimpin badan induk bola sepak negeri itu bagi penggal 2017-2021.
Kongres yang akan dihadiri oleh perwakilan dari persatuan bolasepak jajahan (PBJ) dan lain-lain ahli gabungan bakal menjadi tumpuan peminat setia The Red Warriors (TRW) kerana akan memilih presiden baharu yang akan memimpin KAFA bagi empat tahun akan datang.
Setakat ini, Muhammad Nasir menjadi tokoh kedua mengumumkan hasrat bertanding jawatan presiden selepas Pengerusi Kumpulan Secretleaf International Sdn Bhd, Amir Ramadzan Ibrahim.
Must-Watch Video