Skip to main content

Bola Sepak

Mourinho tidak fikir masa depannya di Itali

jose-mourinho.jpg
Jose Mourinho tidak fikir akan meneruskan karier kejurulatihannya di Itali walaupun pernah mengecap gemilang ketika mengemudi Inter Milan sebelum ini.

Pengendali berusia 56 tahun itu memenangi lima kejuaraan utama selama dua musim di San Siro, termasuk kejuaraan 'treble' pada 2010 selepas menewaskan Bayern Munich dalam final Liga Juara-Juara Eropah.

Mourinho memberi bayangan bahawa kemenangan di Santiago Bernabeu itu merupakan perlawanan terakhirnya bersama Inter sebelum sah menyertai Real Madrid seminggu kemudian.

Dia bertahan selama tiga tahun di Madrid dan berdepan kesukaran sama ketika berhijrah ke Chelsea dan Manchester United, dengan yang terakhirnya dipecat pada Disember lalu.

Pelbagai kelab telah dikaitkan dengan jurulatih itu sejak sembilan bulan lalu, termasuk bekas majikannya, Inter, sebelum pelantikan Antonio Conte, namun dia tidak pernah bercadang untuk kembali dalam saingan Serie A.

"Masa depan saya? Saya tidak fikir ia berada di Itali," katanya dalam rancangan TV negara itu, Tiki Taka.

Berkenaan keputusannya untuk meninggalkan Inter sembilan tahun lalu, Mourinho menambah: "Inter merupakan rumah dan keluarga saya.

"(Massimo) Moratti ialah kawan saya, presiden saya. Kisah mengenai kejuaraan 'treble' itu amat luar biasa.

"Selepas (final) di Madrid, jika saya kembali ke San Siro untuk meraikannya, saya tidak akan meninggalkan Inter.

"Apabila anda meninggalkan keluarga anda, ia sesuatu yang sukar untuk ditangani.

"Pada malam itu, saya sudah tahu yang saya akan meninggalkan pasukan, saya tidak boleh katakan tidak kepada Real Madrid untuk kali ketiga," katanya.

Inter memulakan kempen musim ini dengan cemerlang di bawah kendalian Conte dengan memenangi keenam-enam perlawanan pertama Serie A untuk mendahului carta liga menjelang pertemuan dengan Juventus minggu depan.

Advertisement

Must Watch Video