Skip to main content

Bola Sepak

Mourinho kesal tidak diberi banyak masa di Manchester United

mourinho.jpg
Jose Mourinho memberi isyarat bahawa Manchester United merupakan kelab yang tidak membenarkannya untuk mencapai sasarannya sambil merujuk kesabaran Liverpool dalam membangun pasukan di samping Jurgen Klopp.

Menjelang kunjungan Tottenham ke Liverpool dalam pertembungan Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi esok, pengurus Portugis itu mengingatkan bahawa Klopp telah menghabiskan selama 1,894 hari bertugas di Anfield.

Dia pula telah mengendalikan Spurs selama 390 hari, sekali gus menjadikannya sebagai satu perbandingan yang ketara. 

Mourinho berkata dia sepatutnya diberi tempoh yang lebih panjang untuk meletakkan The Red Devils kembali ke puncak bola sepak Inggeris, tetapi sentuhannya di Old Trafford semakin kelam sebelum dia dipecat pada Disember 2018 -- di pertengahan musim ketiganya. 

Walaupun pernah menjulang Chelsea, Porto, Real Madrid dan Inter, Mourinho mendapati dia sukar mengalahkan Manchester City ketika membimbing juara Inggeris sebanyak 20 kali itu. 

"Dalam tempoh tertentu dalam karier saya dan dengan profil kelab itu, kami tidak mempunyai banyak masa untuk mencapai kejayaan," katanya ketika menjawab soalan mengenai pengurus yang diberi masa dalam bola sepak.

"Kami melakukannya di Porto, Inter, Real, di Chelsea dua kali. Kami melakukannya tanpa memerlukan tempoh yang lama selain keinginan saya sendiri untuk mencuba pelbagai perkara serta keinginan gila saya untuk merantau ke banyak negara, mencuba untuk menang dan menimba pengalaman yang berbeza.

"Ia berjalan sempurna kerana ia mengenai kemenangan, selamat tinggal dan mari kita cuba perkara lain pula.

"Kelab pertama di mana saya berasakan saya memerlukan masa tetapi tidak diberikan adalah ketika di Manchester United kerana saya berasakan bahawa saya meninggalkannya ketika di pertengahan proses, tetapi saya belajar untuk menghormati keputusan berkenaan, itulah yang saya lakukan di United.

"Kami melakukan apa yang kami sepatutnya buat dan melakukan segala yang mungkin dan kami terus maju. Saya gembira, mereka gembira dan kami mempunyai hubungan yang baik, ia sesuatu yang sangat saya banggakan."


 


Mourinho dilantik di Tottenham pada 20 November 2019.

Sejak itu, pasukannya mempunyai kadar percubaan tertinggi dalam EPL -- 15,47 peratus.

Mereka menduduki tempat kedua di belakang Liverpool dalam soal jumlah gol yang dijaringkan menerusi serangan balas, dengan lapan dari 10 serangan The Reds.

Musim ini, Harry Kane dan Son Heung-min tampil dengan prestasi berbisa yang menyaksikan Kane terbabit dalam 19 jaringan (sembilan gol dan 10 bantuan jaringan) sementara Song dengan 10 gol dan empat bantuan jaringan selepas 12 perlawanan. 

"Di Tottenham, saya tahu profil pekerjaan saya dan sampai sekarang, saya menikmati momen di kelab ini," katanya. 

"Saya percaya bahawa struktur kelab ini juga senang bekerjasama dengan saya."

The Special One merancang kekal lama di Tottenham, sesuatu yang tidak pernah dilakukannya sepanjang karier pengurusannya selama 20 tahun.

"Saya melihat diri saya akan kekal lama," katanya.

Sekiranya kejayaan datang dengan cepat dan bukannya dengan proses yang panjang, Mourinho tidak mahu berselindung.

Tambahnya: "Jika anda boleh mempercepatkan proses ini dan bertindak seperti yang kami lakukan, tentu saja kami tidak akan mensia-siakan waktu."
 

Advertisement

Must Watch Video