Skip to main content

Bola Sepak

Moreno mahu Ceballos beraksi bersama Arsenal sekerap mungkin

dani-ceballos.jpg
Robert Moreno mahu Dani Ceballos menggunakan peluang di Arsenal dan membuktikan kemampuannya untuk menjadi pilihan utama Sepanyol.

Pemain pinjaman dari Real Madrid itu telah membuktikan mampu menjadi tunjang jentera tengah The Gunners, malah untuk skuad La Roja.

Bekas perancang Real Betis, Ceballos, menikmati dua musim di Santiago Bernabeu tanpa diberikan peluang turun sebagai pemain utama walaupun dipanggil menyertai skuad kebangsaan.

Ceballos kini telah meraih enam kaps dan dijangka menambahnya dalam saingan kelayakan Euro 2020 berdepan Romania awal pagi Jumaat ini dan Kepulauan Faroe, Ahad ini.

Jurulatih Sepanyol, Moreno, berharap aksi yang lebih konsisten bersama kelab merupakan sesuatu yang penting bagi meningkatkan lagi kemampuannya.

"Apa yang saya mahukan buat dirinya adalah masa untuk bermain. Ia sangat penting," katanya.

"Saya tidak akan bercakap tentang Real kerana Zinedine Zidane yang membuat keputusan di sana.

"Saya mahu dia bermain sekerap mungkin di Arsenal."

Moreno turut meletakkan harapan yang tinggi kepada Pablo Sarabia, yang meninggalkan Sevilla untuk menyertai Paris Saint-Germain (PSG).

Sarabia mempamerkan aksi cemerlang dalam saingan LaLiga musim lalu dan berjaya menarik minat gergasi Perancis itu dan pada usia 27 tahun, dia meraih kaps pertama untuk menyarung jersi Sepanyol.

"Selepas menyaksikan dia beraksi bersama Sevilla dan PSG, dia mampu meningkatkan mutu pasukan kerana dia merupakan seorang penyerang berjiwa pemain tengah," tambah Moreno.

"Dia bijak mencari ruang dan mahu melakukan bantuan jaringan dan Sarabia merupakan seorang pemain yang memburu gol.

"Dia bermain baik dengan Sevilla musim lalu dan meneruskan momentum tersebut dengan PSG. Jika Sarabia bertuah, dia mungkin akan diturunkan beraksi untuk Sepanyol."
 

Advertisement

Must Watch Video