UCL
Monaco tidak rela korbankan corak serangan
Leonardo Jardim menegaskan AS Monaco akan tetap meneruskan falsafah permainan menyerang mereka susulan kejayaan melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara.
Monaco menempah slot ke separuh akhir selepas mempamerkan corak serangan berbisa ketika meraih kemenangan 3-1 ke atas Borussia Dortmund, awal pagi tadi.
Kylian Mbappe, Radamel Falcao dan Valere Germain masing-masing memahat nama selaku penjaring buat pendahulu Ligue 1 itu untuk mara ke peringkat separuh akhir buat pertama kali sejak 2003-04, bagi memuktamadkan kemaraan dengan agregat 6-3 ke atas kelab Jerman itu.
Iklan
Penyandang juara, Real Madrid, finalis musim lalu, Atletico Madrid, atau Juventus sedang menanti mereka di peringkat berikutnya.
Begitupun, Monaco berazam untuk tidak mengetepikan corak permainan yang diterapkan Jardim sambil tidak menyembunyikan kebanggaannya semasa ditemui dalam sidang media.
"Kesemua pemain saya mempamerkan aksi di peringkat tinggi dan saya sangat gembira dengan corak persembahan mereka," kata Jardim kepada UEFA.com.
"Pada tahap ini, anda tidak boleh meletakkan sebarang batasan ke atas pemain. Kami sedang mewakili seluruh negara.
"Perancis tidak biasa mempunyai pasukan yang dapat mara sejauh ini."
"Keputusan boleh menjadi 5-3 atau 6-3 kerana kedua-dua pasukan banyak membazirkan peluang," tambahnya.
"Kami sedar bahawa kami memberikan mereka banyak ruang dan cuba memanfaatkannya.
"Tanpa mengira siapa lawan kami selepas ini, kami akan berdepan sebuah pasukan yang penuh berpengalaman.
"Kami sangat gembira mampu mempamerkan aksi mantap, kami menguasai permainan dengan membuktikan cita-cita kami. Kami sentiasa mahu menambah gol dan itulah gaya kami, ia merupakan DNA kami.
"Kesemua pencabar mahu diundi (esok) bertemu kami. Bagaimanapun, impian kami adalah untuk menikmatinya serta memperagakan kualiti serangan kami seperti yang diamalkan."
Must-Watch Video