Skip to main content

Bola Sepak

Mohamed Salah mahu ikut jejak George Weah menang Ballon d'Or

mohamed-salah_1.jpg
Mohamed Salah mahu menelusuri jejak George Weah sebagai pemain Afrika kedua memenangi Anugerah Ballon d'Or sambil mengakui terkejut apabila menamatkan perebutan anugerah itu di tangga ketujuh tahun lalu.

Pemain mesir itu menamatkan perebutan berkenaan di tangga keenam dan kelima, masing-masing bagi edisi 2018 dan 2019.

Bagaimanapun, kedudukannya tergelincir selepas edisi 2020 dibatalkan, di mana dia terkeluar daripada kelompok enam terbaik sewaktu Lionel Messi memenangi gelaran keenamnya tahun lalu.

Sejak itu, Salah telah membantu Liverpool memenangi dua gelaran domestik selain menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di tempat kedua dan layak ke final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2022, di mana dia turut terlibat dengan 46 gol (31 jaringan dan 15 bantuan) sepanjang musim 2021-22.

Bahkan, dia juga turut menerima deretan anugerah individu, termasuk Anugerah Kasut emas EPL, Anugerah Pemain Terbaik Tahunan FWA dan yang terbaru, Anugerah Pemain Terbaik Tahunan PFA.

Bagaimanapun, kesemua pencapaian itu masih belum mencukupi untuk menandingi bekas bintang Liberia, Weah, yang menjadi satu-satunya pemain Afrika pernah memenangi Ballon d'Or pada 1995.

"Saya mahu memenanginya agar dapat menyamai George Weah, satu-satunya pemain Afrika yang dapat melakukannya," kata Salah kepada L'Equipe.

"Benar saya agak terkejut dengan kedudukan saya tahun lalu (ketujuh). 

"Untuk tahun ini, kekalahan kepada Real Madrid merupakan satu kekurangan walaupun saya beraksi baik dalam perlawanan final (UCL) itu.

"Tetapi ia tidak akan menjejaskan apa yang telah saya capai selama beberapa bulan ini dan jika saya tidak menang Ballon d'Or 2022, saya masih akan melakukan segala-galanya untuk memenangi yang seterusnya," katanya.
 
 

Advertisement

Must Watch Video