Skip to main content

Bola Sepak

Mereka beraksi dengan bagus? -- Sarri belum lihat aksi Inter

maurizio-sarri-cropped_1iyn5teflm6tm1tixjsr2rgdty.jpg
Pengendali Juventus, Maurizio Sarri, mendedahkan dia masih belum menyaksikan aksi Inter Milan musim ini menjelang pertemuan kedua-dua pasukan dalan saingan Serie A, minggu depan.

Juara bertahan, Juve, naik ke tangga teratas liga selepas menundukkan SPAL 2-0 di Stadium Allianz semalam sebelum Inter kendalian Antonio Conte itu kembali memintas susulan kemenangan 3-1 ke atas Sampdoria, awal pagi tadi.

Juve akan bertandang ke San Siro, lapan hari lagi tetapi Sarri tidak mahu fokus kepada perlawanan itu sehingga selesai pertemuan Liga Juara-Juara Eropah menentang Bayer Leverkusen.

"Sebenarnya, saya masih belum menyaksikan aksi Inter musim ini kerana kami fokus kepada persembahan pasukan lawan yang seterusnya," katanya.

"Kami akan menonton beberapa perlawanan melibatkan Leverkusen dan akan menikmati makan malam.

"Saya dengar Inter beraksi dengan bagus. Saya tidak meragui mereka memandangkan pengurus dan pemain berkualiti yang mereka miliki. Saya sering katakan bahawa musim ini akan menjadi lebih seimbang."

Juve dikecewakan oleh penjaga gol SPAL, Etrit Berisha, yang memainkan peranan utama dalam aksi semalam tetapi penyudah cemerlang daripada Miralem Pjanic dan tandukan lewat permainan oleh Cristiano Ronaldo memberikan gergasi Turin itu kemenangan ketiga berturut-turut.

Sarri mengakui anak buahnya agak perlahan dalam babak pertama tetapi walaupun hanya berupaya melakukan empat percubaan tepat, mereka melakukannya dengan baik.

"Kami berdepan beberapa kesukaran untuk mendapatkan rentak ketika permulaan aksi, terutama sewaktu SPAL begitu bersemangat," tambah Sarri.

"Ia bukan tempo sebenar pemain. Kami membawa bola terlalu perlahan dan tidak banyak pergerakan dengan bola.

"Aksi babak kedua dilihat lebih baik. Kami mencipta banyak peluang dan tidak memberi banyak ruang. Saya teruja dengan keinginan yang ditunjukkan pemain yang masuk selaku pemain gantian."

Gonzalo Higuain diletakkan di bangku simpanan tatkala Sarri menggandingkan Ronaldo dan Paulo Dybala, yang menyaksikan kedua-dua penggempur itu terlibat dalam menghasilkan kedua-dua gol.

"Ronaldo menyinar dan mencipta empat atau lima peluang untuk menghasilkan gol sambil Higuain beraksi cemerlang musim ini.

"Bagus untuk melihat tiga penggempur utama anda terbuka dengan kombinasi yang dipilih, di mana anda tidak akan silap."
 

Advertisement

Must Watch Video