Skip to main content

Bola Sepak

Memang ada gerakan tidak mahu benda ini berjaya, sasaran utamanya saya -- TMJ

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

tmj.jpg
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim, yang merupakan pencetus revolusi Harimau Malaya, berasakan ada pihak tertentu cuba menjatuhkan usahanya.

Menurutnya, ia menerusi pelbagai cara seperti 'sabotaj' skuad kebangsaan dengan rentetan kritikan pedas yang dilemparkan legenda bola sepak negara, Datuk Santokh Singh.

Terdahulu, Astro Arena semalam melaporkan Santokh Singh mendakwa Harimau Malaya ketika ini tiada identiti kerana dipenuhi pemain naturalisasi dan warisan sehingga bakat tempatan terpaksa diketepikan.

TMJ, dalam satu temu bual bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, berkata: "Kalau kita lihat sepanjang dua bulan terakhir ini, memang jelas ada gerakan yang tidak mahu lihat benda ini berjaya.

"Sasaran utamanya adalah saya. Untuk menyerang saya secara langsung tidak boleh, pihak-pihak tertentu terpaksa menyerang JDT (Johor Darul Ta'zim, kelab milik TMJ), terpaksa menyerang liga, terpaksa memainkan naratif dan sentimen pasukan kebangsaan. Sebenarnya mereka menyasarkan saya.

"Saya akan terbuka. Saya akan meneruskan apa yang saya buat. Saya tidak akan keluar daripada bola sepak. Saya akan meneruskannya.

"Bagi saya, mengapa anda tidak mengambil kelebihan dengan adanya saya daripada bercakap kononnya 'Kalau Tunku Mahkota tiada dalam bola sepak, bola sepak akan lebih baik'.

"Apa makna bola sepak sebelum ini? Saya juga ada soalan. Mengapa kita terlalu selesa dengan kedudukan kita sehingga kita terlalu takut untuk belajar daripada orang luar?

"Apa salahnya kita belajar? Kejayaan saya di JDT pun, saya belajar daripada orang luar, negara luar, pakar dari luar negara.

"Kalau nak kata kita ketepikan jurulatih tempatan, lihat sahaja berapa ramai jurulatih muda tempatan yang ada masa depan seperti jurulatih Nafuzi (Zain), Hairuddin Omar, Aidil (Zafuan Abd Radzak) dan yang lain-lain.

"Bagi saya, ia tidak masuk akal. Bagi saya komen-komen seperti ini tidak patut keluar. Kerana apabila kita sedang mencuba untuk ada benda baru, sepatutnya setiap pihak memainkan peranan untuk memberikan sokongan yang lebih positif."
 

Advertisement

Must Watch Video