Skuad regu berpasukan negara menempah slot ke pusingan suku akhir Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw ISTAF 2026 selepas menewaskan Myanmar 3-0 dalam saingan Kumpulan B di Stadium Titiwangsa sebentar tadi.
Pasukan regu pertama dibarisi Zulkifli Razak (tekong), Aidul Aiman (pengumpan) dan Afifuddin Razali (perejam) itu bermula dengan langkah kanan apabila mudah menundukkan Myanmar 15-7 dalam set pertama.
Meskipun Myanmar cuba mengatur kembali langkah untuk mengheret regu pertama Malaysia ke set penentuan, namun ketajaman Zulkifli atau lebih dikenali sebagai Sobey memacu kemenangan 15-9 negara untuk mendahului 1-0.
Malaysia mempertaruhkan skuad utama dalam regu kedua diketuai Syahir Roasdi (tekong), Farhan Adam (pengumpan) dan Azlan Alias (perejam) dan tidak berdepan masalah untuk memastikan skuad negara selangkah ke pusingan suku akhir dengan kemenangan 15-11,15-6.
Set terakhir menyaksikan wakil regu ketiga negara, Haziq Nizam (tekong), Amirul Zazwan (pengumpan), dan Noraizat Nordin (perejam) melengkapkan kemenangan 15-13,15-5 sekali gus melengkapkan kemenangan bersih 3-0 kem negara untuk muncul juara Kumpulan B.
Malaysia akan berdepan Jepun dalam saingan suku akhir malam esok.